Sila log masuk terlebih dahulu.

Fenomena 'order lain, sampai lain' bakal berulang pasca PRN
Artikel percuma

01 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PERSELISIHAN antara dua tokoh besar Pas iaitu Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagaimana didedahkan bapa saudaranya, Nik Din Nik Mat dalam satu video tular baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai spekulasi.

Dakwaan kononnya Nik Abduh tidak tercalon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya negeri (PRN) Kelantan berpunca daripada tindakan Mohd Amar selaku Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, ramai mengaitkan pergeseran itu dengan krisis perebutan menjadi calon menteri besar alternatif.

Meskipun tiada pengumuman rasmi Pas menyatakan penyandang Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob akan melepaskan jawatan itu selepas PRN, namun spekulasi bertiup kencang mengatakan negeri Cik Siti Wan Kembang itu bakal mendapat menteri besar baharu sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang bergaya.

Hakikatnya, isu poster boy memang memberi impak besar terhadap peluang mana-mana parti atau koalisi untuk mengekalkan atau menawan sesebuah negeri pada PRN enam negeri.

Namun, secara tersiratnya terdapat pucuk kepimpinan parti mempunyai perancangan mengangkat individu lain yang lebih dekat dengan mereka sebagai calon ketua kerajaan negeri sekiranya mereka menang PRN.

Sejarah politik Malaysia membuktikan langkah parti atau koalisi menjanjikan seseorang sebagai calon poster boy, tidak menjamin mereka benar-benar dilantik ke jawatan itu sekiranya koalisi atau parti diwakili mencapai kemenangan pilihan raya.

Sebagai contoh, PRN Melaka dan Johor sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi saksi berlakunya situasi pelantikan ketua menteri atau menteri besar ‘order lain, sampai lain’.

Selain Kelantan, terdapat empat negeri lain yang berdepan risiko berlakunya pertukaran calon ketua menteri atau menteri besar pasca PRN enam negeri sekiranya status quo pentadbiran kerajaan negeri kekal kepada koalisi penyandang.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

KEDAH

Menjelang PRN negeri itu, nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor secara tiba-tiba menjadi sensasi dan dianggap satu fenomena baharu PN.

Lebih-lebih lagi selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas dua kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, dua minggu lalu.

Dengan ‘faktor Sanusi’ di samping jangkaan pengekalan fenomena gelombang hijau pada PRU15 memungkinkan PN mengekalkan status quo kerajaan negeri, terdapat kebimbangan Muhammad Sanusi perlu melepaskan jawatan itu pasca PRN.

Keadaan itu hanya berlaku sekiranya Pengarah Pilihan Raya PN itu disabitkan bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman melebihi had hukuman yang membawa kepada ketidaklayakan untuk menjadi wakil rakyat.

Nama-nama pemimpin senior Pas seperti Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman dan bekas Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad mungkin dipertimbangkan sebagai alternatif jika senario ‘terburuk’ itu berlaku.

Sekiranya koalisi PH-BN pula mencipta kejutan menumbangkan PN di Kedah, isu penentuan siapa calon menteri besar di antara BN dan PH juga berkemungkinan bakal mengundang konflik.

Hal ini kerana BN diyakini mempertaruhkan pengerusi koalisi negeri itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk menjadi calon menteri besar kali kedua, manakala PH dijangka mengetengahkan pengerusi koalisi negeri itu, Datuk Mahfuz Omar.

NEGERI SEMBILAN

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Awam, Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Malike Brahim berkata, terdapat tiga faktor perlu diambil kira bagi membolehkan seorang calon poster boy benar-benar ‘lekat jawatan’.

Jelasnya, tiga faktor berkenaan adalah prestasi calon di peringkat negeri, pengaruh dalam parti dan paling penting budi bicara pelantikan di bawah kuasa prerogatif institusi Istana Negeri.

Situasi di Negeri Sembilan dianggap stabil apabila penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dikekalkan sebagai calon poster boy Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, situasi calon menteri besar negeri itu mungkin boleh berubah sekiranya BN yang bertanding 17 daripada 36 kerusi DUN, berjaya memperoleh bilangan kerusi lebih banyak daripada PH yang bertanding 19 kerusi DUN.

“Jika koalisi Perpaduan PH-BN menang dan BN beroleh lebih banyak kerusi, tidak mustahil nama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias dipilih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai menteri besar baharu,” ujar Malike kepada Sinar Premium.

PULAU PINANG

Isu pengekalan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow sebagai calon ketua menteri dikatakan menjadi syarat membolehkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkuasa sepenuhnya mencatur senarai pemilihan calon parti itu pada PRN Pulau Pinang.

“Kesannya, tindakan pengguguran beberapa pemimpin utama DAP Pulau Pinang seperti Dr P Ramasamy dan pengikutnya daripada senarai calon turut menimbulkan krisis dalaman lebih teruk dan mungkin menyebabkan PH-BH kehilangan undi pengundi India.

“Bahkan terdapat desas-desus sebahagian penyokong DAP negeri itu sudah bosan dengan tindak-tanduk Guan Eng yang seolah-olah cuba hendak kembali menjadi ketua menteri, meskipun Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan senario itu mustahil,” kata Malike.

SELANGOR

Sebagaimana di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri sudah menetapkan calon poster boy di Selangor kekal kepada penyandang Menteri Besar serta Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun, sebarang langkah pertukaran Amirudin ke jawatan menteri persekutuan selepas PRN enam negeri bukan satu perkara mustahil sekiranya koalisi PH-BN mengekalkan penguasaan di Selangor.

Desas-desus Amirudin bakal digantikan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri besar pernah tercetus sebelum ini, namun kemungkinan itu terpadam setelah ‘anak emas’ BN itu tidak tercalon pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, timbul pula khabar angin mengatakan Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman yang juga bekas ADUN Paya Jaras antara nama disebut-sebut menggantikan Amirudin sekiranya Anwar mahu melantik beliau menganggotai Jemaah Menterinya.

Dari sudut PN pula, seolah-olah sudah memberi bayangan calon menteri besar koalisi itu adalah bekas Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini merupakan Ketua Penerangan Bersatu.

Bagaimanapun, Pas Selangor turut mengintai jawatan itu dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang bertanding di DUN Sijangkang dijangka menjadi taruhan.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan