Sila log masuk terlebih dahulu.

Wanita terlibat berpolitik masih dianggap tabu
Artikel percuma

01 Ogos 2023 07:10am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PENAMAAN calon pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu menyaksikan 572 calon bertanding bagi merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor serta satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Daripada jumlah keseluruhan calon disahkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 501 adalah calon lelaki dan hanya 71 adalah calon wanita.

Calon wanita paling ramai datang dari Selangor iaitu 27 calon diikuti Kedah (14), Pulau Pinang (12), Kelantan (8), Negeri Sembilan (8) dan Terengganu (2).

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpendapat, politik dilihat sebagai dunia lelaki dan persepsi serta konstruksi sosial terhadap wanita dalam politik masih tabu.

“Sepertinya sudah dinormalisasi bahawa urusan politik diserahkan kepada orang lelaki manakala urusan rumah tangga adalah ‘hak mutlak’ golongan hawa.

“Pada masa sama, peranan wanita mungkin lebih banyak diperluaskan dalam bidang seperti pentadbiran awam dan korporat berbanding politik,” katanya kepada Sinar Premium.

Katanya, jika serius mahu mengubah senario politik dengan memperbanyakkan calon wanita, perlu ada perubahan kerana parti yang menentukan calon yang akan bertanding.

“Ramai wanita yang mempunyai kelayakan dan kepakaran dalam pelbagai bidang kritikal seperti sains, matematik, sains angkasa, kewangan dan kejuruteraan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Jika diberi peluang input yang mereka miliki boleh membantu melahirkan dasar dan polisi yang baik serta berkesan. Namun kebanyakan mereka bukan orang parti dan parti pula tidak minat menarik mereka bersama,” jelasnya.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pula berkata, Indeks Jurang Gender sehingga tahun 2022 menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan 103 daripada 146 buah negara.

Hal ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa kedudukan wanita di negara masih perlu penambahbaikan daripada pelbagai aspek termasuk politik.

“Walaupun pencapaian wanita dalam banyak aspek seperti pendidikan dan penglibatan tenaga buruh dalam keadaan baik, aspek penglibatan wanita dalam politik masih kekal rendah dengan skor 10 peratus di bawah segmen pemerkasaan politik indeks tersebut.

“Malah pencalonan wanita dalam PRN enam negeri kali ini iaitu sebanyak 12.4 peratus menunjukkan lebih banyak peluang dan ruang wajar diberikan kepada wanita dalam landskap politik negara,” ujarnya.

Justeru katanya, usaha memperkasa wanita dalam politik memerlukan kerjasama rentas parti kerana setiap parti memiliki sayap puteri dan wanita selain turut memerlukan undi wanita di setiap kawasan untuk menang pilihan raya.

“Dalam usahasama rentas parti ini, satu tabung pendanaan untuk politik sayap wanita dan pertubuhan bukan kerajaan wanita perlu ditubuhkan untuk membolehkan pergerakan politik wanita dari setiap parti bergiat aktif tanpa perlu mengharapkan dana parti atau ketua bahagian yang dikuasai oleh lelaki.

“Kedua, dalam meningkatkan kadar peratusan perwakilan wanita dalam badan legislatif, setiap parti perlu meletakkan calon wanita agar tidak bertembung sesama mereka dan juga memberi kerusi putih parti kepada calon wanita,” katanya.

Menurut beliau, pucuk pimpinan parti yang dikuasai lelaki juga mesti berani untuk tidak bertanding di kerusi selamat dan memberikannya kepada calon wanita.

“Ekosistem yang kondusif untuk wanita berpartisipasi dalam politik juga perlu dibangunkan. Ini berikutan tanggungjawab wanita dalam keluarga, budaya politik yang provokatif dan tidak sihat serta sistem berparti menjadi antara punca ruang politik memberi kelebihan kepada lelaki berbanding wanita.

“Justeru reformasi struktural juga diperlukan agar ekosistem politik menjadi kondusif dan mesra wanita,” tambahnya.

Seterusnya Anis berkata, revolusi budaya politik di mana pandangan skeptikal terhadap kemampuan wanita berserta latar politik Malaysia yang diwarnai oleh politik identiti perlu diubah dengan mencari titik keseimbangan dan kesepakatan dalam mengetengahkan kepentingan serta sumbangan wanita dalam pembuatan dasar awam negara.

“Secara umumnya, penglibatan wanita yang rendah dalam politik adalah merugikan kemajuan negara,” jelasnya.

Jumlah pengundi PRN

Selangor - 3,747,057

Kedah - 1,585,085

Kelantan - 1,411,912,Pulau Pinang - 1,234,198

Terengganu - 930,894

Negeri Sembilan - 864,425

Jumlah Keseluruhan - 9,773,571Wanita - 4,935,937 (50.17 peratus)

Lelaki - 4,837,634 (49.83 peratus)

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan