Sila log masuk terlebih dahulu.

Debat perlu ada hasil positif
Artikel percuma

02 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
Mohammad Tawfik, Hisomuddin
Mohammad Tawfik, Hisomuddin
A
A
A

SELEPAS hasrat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mahu ‘beradu mulut’ di pentas debat ditolak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, undangan beliau akhirnya disambut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Menariknya, Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas sebelum ini pada mulanya turut menolak pelawaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana mahu fokus berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat.

Namun, setelah mendapat keizinan pucuk pimpinan PN, beliau menyatakan persetujuan tanpa sebarang syarat, malah turut mencadangkan tajuk debat iaitu ‘Malaysia Lebih Baik’.

Di sebalik drama tolak terima ini, boleh disimpulkan, debat bukanlah budaya politik yang diamalkan negara ini seperti yang biasa dilakukan negara luar.

Amerika Syarikat misalnya sering mempraktikkan budaya debat dalam kalangan pemimpin tertinggi parti politik Republikan dan Demokrat terutama menjelang musim Pilihan Raya Presiden.

Malah negara jiran terdekat, Indonesia turut mengadakan debat ketika Pilihan Raya Presiden (Pilpres) apabila dua calon Presiden berhujah mengenai janji dan visi masing-masing dalam menyelesaikan permasalahan negara.

Bagaimanapun, menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, di negara ini tidak ramai pemimpin politik yang sedia untuk berdebat.

“Ini kerana debat bukan budaya dalam politik negara. Sebaliknya budaya politik negara lebih kepada penggunaan kuasa,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jelas beliau, sebanyak mana idea dilontarkan ahli akademik atau lawan politik, meskipun jelas terbaik untuk rakyat, ia tetap tidak dapat dilaksanakan jika tidak mempunyai kuasa.

“Contohnya, permintaan RM8 bilion oleh kerajaan negeri Kelantan untuk menyelesaikan masalah air dinafikan kerajaan Pusat disebabkan perbezaan parti pemerintah antara kerajaan negeri dan Persekutuan.“Dalam erti kata lain, musuh politik yang mempunyai kuasa tidak akan melayani permintaan yang akan ‘menenggelamkan’ diri daripada mencapai populariti daripada rakyat,” katanya.

Merujuk debat dicadangkan Rafizi, Mohammad Tawfik berkata, ia seharusnya memberikan hasil, maklumat dan menjana idea antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan PN, bukan sekadar mahu meraih perhatian rakyat atau ada muslihat politik.

Tambah beliau, kesedaran budaya berdebat juga agak sukar dijadikan rutin dan hanya boleh berlaku apabila negara mencapai kematangan politik.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpandangan, dalam konteks Malaysia, penerimaan debat hanya berlaku di peringkat kelas tinggi dalam masyarakat berbanding kelas biasa.

“Debat ini bukan perkara baharu. Sebelum ini juga pernah diadakan melibatkan nama-nama besar, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Fadzil Noor mengenai Palestin, serta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bertajuk ‘Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak’.

“Namun penerimaan debat hanya berlaku di peringkat kelas tinggi dalam masyarakat. Kumpulan pengundi rasional sahaja yang akan tertarik dengan elemen perdebatan, manakala untuk masyarakat biasa, debat ini akan berlalu begitu saja,” katanya.

Menurut beliau, debat juga biasanya lebih kepada mengandungi unsur politik berbanding mencari titik persamaan dan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat.

“Budaya debat dalam konteks negara membangun merupakan elemen politik nilai berpaksikan moral yang baik, beradab mulia, berhujah dengan fakta dan rasional yang tinggi.

“Perdebatan yang mengangkat kepentingan rakyat sewajarnya menjurus kepada politik matang dan sihat,” katanya.

Mengulas debat ekonomi antara Rafizi dan Syahir yang bakal berlangsung, Hisomuddin berkata, ia muncul berikutan wujud pertembungan idea dan naratif dalam kempen pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

“Debat ini diheret sama dengan tujuan mempengaruhi pengundi. Ini kerana serangan PN ialah Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH tidak kompeten dalam menyelesaikan masalah makro ekonomi negara.

“Kesalahan ini disasarkan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan serta Rafizi yang terkenal dengan formula ekonomi yang sering menjadi bahan sindiran pembangkang,” ujarnya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan