CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berusaha untuk mengatasi masalah tekanan air yang sering dihadapi oleh penduduk di rumah pangsa dan kondominium selain memberi tumpuan untuk meningkatkan ekonomi golongan muda.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, NOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA bersama Altimet yang juga penyelaras DUN Lembah Jaya sejak 10 bulan lalu.
SINAR HARIAN: Apa naratif atau isu yang akan dibawa kepada pengundi Lembah Jaya?
ALTIMET: Pertamanya saya akan membawa isu banjir kilat yang selalunya berlaku di Kampung Sungai Putih dan kawasan berdekatan. Seterusnya, saya cuba untuk mengatasi masalah tekanan air yang sering berlaku di kawasan perumahan pangsa, kos sara hidup dan kerjaya anak muda.
Sebelum ini, saya telah bertugas sebagai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya bermula 10 bulan yang lalu. Jadi saya sentiasa berkomunikasi bersama kawasan rukun tetangga (KRT) dan ahli jawatankuasa rumah pangsa dan kondominium untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi.
Biasanya apabila melibatkan kawasan rumah pangsa dan kondominium, mereka berhadapan dengan gangguan tekanan air. Mendengar kepada luahan penghuni, saya bersama-sama ketua komuniti bekerjasama dengan Air Selangor untuk menangani isu ini. Biasanya kami berjaya menyelesaikan masalah itu dengan tempoh masa yang agak singkat.
Berkenaan kerjaya anak muda, ia turut diberi perhatian dan beberapa isu berkaitan itu telah diletakkan dalam tekad lima tahun seperti yang diusulkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Salah satunya menyediakan peluang pekerjaan atau peluang memulakan perniagaan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor dalam tempoh lima tahun seterusnya.
Bagaimana cara untuk menawan hati pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun yang dijangka menjadi penentu kemenangan parti dan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini?
Cara pertama yang akan saya lakukan untuk mendekati anak muda adalah dengan mendekati golongan itu menerusi satu platform berdialog. Saya rasa pendekatan ini lebih baik kerana ia dalam keadaan santai yang mempromosikan komunikasi dua hala.
Saya akan terus menggunakan teknik ini lebih berkesan kerana melalui perbualan, anak muda ini akan lebih terbuka untuk memberi buah fikiran dan bertukar idea secara santai.
Nampaknya mereka lebih selesa dan menyukai komunikasi dua hala dalam skala kecil sama ada lima atau 10 orang dalam satu masa berbanding berceramah kepada orang ramai.
Kemudian, saya juga sedang mendengar isi hati anak muda yang kebanyakannya mahu hobi atau minat mereka diketengahkan. Kebanyakan mereka masih aktif bersukan, jadi apabila ada aktiviti sedemikian, ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
Bukan itu sahaja, setelah saya teliti, golongan ini juga tertarik kepada aktiviti-aktiviti komuniti. Baru-baru ini, kita adakan korban komuniti dan aktiviti berkenaan sama sekali tidak menggunakan tenaga kerja luar, sebaliknya kita kumpul bersama-sama untuk menyembelih empat ekor lembu dan 10 ekor kambing.
Boleh saya katakan aktiviti berkenaan bermula dari acara penyembelihan, merewang, memasak dan mengagihkan daging korban, semuanya terdiri daripada anak muda komuniti DUN Lembah Jaya. Mereka menunjukkan maklum balas yang sangat baik terhadap program ini.
Saudara dikenali sebagai artis dan bukannya ahli politik, bagaimana mahu meyakinkan pengundi bahawa saudara juga mampu untuk menjadi wakil mereka?
Saya sudah berhenti membuat persembahan sejak tahun 2019 dan melihat kepada prestasi yang telah dicapai sebagai penyelaras 10 bulan lalu, saya yakin ia boleh menjadi wakil mereka. Saya bukan cakap kosong, tetapi ada pencapaian itu direkodkan.
Boleh saya katakan kerjaya kini telah berubah. Walaupun masih belum mencapai 100 peratus, tetapi perubahan positif itu dapat dilihat.
Untuk menjadi wakil rakyat, kita perlu memahami agama dan budaya selain daripada Islam dan Melayu. Oleh sebab itu, kita perlu melakukan kajian tentang anutan mereka supaya tidak timbulnya isu wakil kurang cakna terhadap budaya dan agama masyarakat lain.
Saya berpegang kepada ajaran Rasulullah SAW untuk sentiasa terbuka, menerima dan memahami cara hidup masyarakat lain supaya mereka tidak berasa terpinggir.
Jadi saya amat berbesar hati jika ada di antara mereka yang mempelawa untuk mengunjungi rumah ibadah mereka. Bagi saya, kunjungan ke tempat berkenaan tidak bermakna kita mahu mempelajari agama itu, sebaliknya tanda hormat dan menyantuni niat mereka.
Apa pandangan saudara tentang pihak lawan dan peluang untuk menang di Lembah Jaya?
Peluang untuk kedua-dua calon memenangi DUN ini cerah walaupun saya tidak mengenali calon Perikatan Nasional (PN) secara peribadi, tetapi berdasarkan kata-kata orang ramai, beliau merupakan seorang yang baik dan berpendidikan.
Rata-rata menyatakan prestasi beliau amat baik kerana memiliki pengalaman berkhidmat sebagai ahli majlis dan terdapat rekod pencapaian mengenai dirinya, jadi peluang untuk beliau menjadi wakil rakyat itu juga cerah.
Sewaktu hari penamaan calon, kami berdua telah berbincang untuk bertanding secara bersih, bahkan turut berjanji untuk menjalankan satu kempen secara berhemah dan tidak menjatuhkan mana-mana pihak dengan membangkitkan isu-isu sensitif terhadap pihak lawan.
Apa perkara pertama yang saudara akan lakukan jika terpilih sebagai wakil rakyat?
Sekiranya saya mendapat mandat untuk menjadi wakil rakyat, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah meneruskan fasa penggalian untuk mendalamkan Sungai Putih. Kini saya difahamkan projek berkenaan masih di peringkat awal.
Kemudian, saya juga bercadang untuk merangka beberapa program untuk komuniti di Lembah Jaya. Ia melibatkan semua peringkat bermula daripada kanak-kanak, belia dan keluarga.
Apabila berbicara tentang komuniti, saya terpanggil untuk mengembalikan semula semangat hidup dalam suasana kampung. Saya akan cuba memantapkan perkhidmatan sedia ada supaya mereka berasa Lembah Jaya memiliki segalanya dan tidak perlu berpindah ke negeri lain selepas bersara.
Seterusnya, saya menerima maklum balas positif daripada anak muda bahawa mereka begitu meminati sukan e-sukan. Jadi kita akan wujudkan sukan berkaitan untuk menarik penglibatan anak muda ke acara komuniti Lembah Jaya.