Sila log masuk terlebih dahulu.

Tamatkan monopoli kuasa politik
Artikel percuma

06 Ogos 2023 08:30am | Masa membaca: 4 minit
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu
A
A
A

AKHBAR Sinar Harian pada Sabtu melaporkan 85 peratus pemilih pada pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah memutuskan parti yang akan mereka pangkah, 12 Ogos ini.

Dalam memutuskan pemilihan itu, tiga faktor – calon, parti dan isu ekonomi dikatakan menjadi pemberat yang memandu mereka membuat pilihan.

Namun, dalam perbualan rambang saya dengan sebilangan pengundi semasa mengikuti kempen di Selangor, saya dapati ada satu lagi faktor yang nampaknya bakal jadi pertimbangan pengundi.

Faktor itu adalah untuk memastikan kuasa politik di negeri dan Persekutuan tidak dimonopoli oleh gabungan parti politik yang sama. Menurut mereka, sekiranya gabungan Kerajaan Perpaduan memerintah Persekutuan, elok jika pengundi memilih parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah negeri, bukan sahaja di enam negeri yang mengadakan PRN, malah di negeri lain yang tidak mengadakan PRN selepas ini.

Begitulah sebaliknya jika gabungan PN memerintah Persekutuan, maka gabungan yang tidak berada di bawah payung PN hendaklah diamanahkan menjadi kerajaan negeri. Bagi melaksanakan idea itu, mereka mencadangkan supaya PRN dan pilihan raya Persekutuan hendaklah diadakan berasingan pada masa akan datang.

Saya tidak pasti sejauh mana pandangan menamatkan monopoli kuasa politik berleluasa tetapi saya percaya ketika ini ia sekadar pandangan golongan minoriti. Tetapi, tidak mustahil idea itu akan berkembang dan boleh menjadi pemberat pada PRN atau PRU seperti berlaku di Sarawak serta Sabah.

Malah, dalam kalangan sebilangan pengundi yang ditemui ada berpendapat PRN ini medan terbaik memulakan langkah menamatkan monopoli kuasa mana-mana gabungan parti politik di negara ini atas tiga sebab utama.

Pertama, jika parti-parti bukan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan tidak dipilih pada PRN, kestabilan kerajaan Persekutuan tidak akan terjejas kerana gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN)-Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta sebilangan parti politik kecil lain mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Gabungan Kerajaan Perpaduan boleh terus memerintah dengan selesa sehingga penggal lima tahun berakhir pada 2027.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kedua, pandangan juga disuarakan bahawa antara dua gabungan parti yang menawarkan diri pada PRN di enam negeri masing-masing, sudah ada pengalaman jadi kerajaan. Sebahagian besar calon ditampilkan juga mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang baik dalam politik serta pentadbiran.

Justeru, jika gabungan PH-BN tidak terpilih, kerajaan di enam negeri boleh bertindak sebagai satu lagi ejen semak dan imbang terhadap kerajaan Persekutuan bagi menjamin agihan kuasa tidak berada dalam genggaman mana-mana pemimpin.

Ketiga, pemecahan monopoli kuasa politik antara negeri dan Persekutuan membolehkan negeri serta pusat menjalin hubungan baharu dalam berkerajaan, dengan harapan akhirnya kerajaan yang berkuasa di negeri dan pusat akan menghormati satu sama lain demi membangunkan negeri mengikut undang-undang telah ditetapkan Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri.

Dengan itu, perseteruan dan bertelingkahan antara kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri yang tidak berkesudahan hingga kini semata-mata kerana diperintah oleh parti tidak berada di bawah satu bumbung akan dapat dikurangkan atau diminimumkan.

Ini kerana, membangunkan negeri hendaklah diserahkan kepada menteri besar dan ketua menteri, sementara kabinet negeri mengikut apa difikirkan terbaik untuk wilayah berkenaan.

Kerajaan Persekutuan sebagai autoriti pusat hendaklah menjadi pemudah cara, bukan penghalang terhadap program pembangunan yang dirancang pada peringkat negeri.

Dengan itu, kecenderungan penguasa Persekutuan menghukum dan menafikan pembangunan projek Persekutuan di negeri tidak diperintahnya boleh ditamatkan.

Amalan menghukum adalah tidak sihat kerana menyebabkan ketidakseimbangan dari segi pembangunan – ada wilayah di negara ini berlebihan maju atau ada ketinggalan dalam serba-serbi.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan