SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) berisiko kehilangan kerusi sedia ada sekiranya wujud tindakan sabotaj ahli parti yang enggan mengundi calon sendiri atau memangkah calon lawan.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, sedangkan amat penting bagi BN mengekalkan jumlah kerusi yang dimenanginya sebelum ini untuk dilihat terus relevan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, oleh itu ahli UMNO sepatutnya memberi fokus untuk memenangkan parti, bukannya melakukan protes dengan tidak mengundi calon mereka.
"Ahli bukan tidak mahu undi tetapi dilihat lebih kepada protes, mungkin mereka tidak fikir panjang dan layan emosi. Perkara ini hanya akan merugikan BN.
"Sepatutnya semua pihak memberi fokus untuk memenangkan parti, bukannya melihat kepada calon semata-mata. Apa yang penting pada pilihan raya ini, BN sekurang-kurang perlu mempertahan kerusi sedia ada, kalau dapat tawan kawasan pembangkang itu adalah bonus," jelasnya kepada Sinar Harian.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menegaskan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana ahlinya yang didapati melakukan sabotaj kepada parti itu pada PRN ini, namun memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya pengkhianatan setakat ini.
Menurut Mohd Izani, masa untuk ahli menjadi duri dalam daging kepada parti telah berlalu.
Tambahnya, perkara tersebut berlaku mungkin wujud sentimen terlalu kuat atau mereka tidak boleh terima calon yang bertanding walhal calon hanyalah wakil atau platform parti dalam pilihan raya.
"Bagaimanapun, kerisauan Ahmad Zahid ada asasnya kerana ia bukan perkara baharu malah pernah berlaku sebelum ini.
"Oleh itu, saya berpendapat kepimpinan parti perlu bekerja lebih keras dengan turun padang menjelaskan secara terperinci di peringkat akar umbi dan meyakinkan mereka calon yang dipilih itu adalah yang terbaik," katanya.