Sila log masuk terlebih dahulu.

Razif mahu lawan secara gentleman
Artikel percuma

07 Ogos 2023 08:05am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

MESKIPUN berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir untuk tempoh tiga penggal dan dilabel sebagai kerusi paling selamat bagi Barisan Nasional (BN), namun Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman enggan bersikap terlalu selesa.

Menurut bekas Menteri Besar Terengganu yang juga calon BN di kawasan yang disandangnya ketika ini, Ahmad Razif tetap menyifatkan kehadiran lawannya iaitu Khazan Che Mat mewakili Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang mudah, walaupun bukan anak tempatan di Seberang Takir.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain bersama Ahmad Razif menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

SINAR HARIAN: Kalau kita lihat, pihak lawan menjadikan isu undi BN akan dapat DAP sebagai modal kempen mereka kali ini. Sejauh mana Datuk Seri lihat ia mampu memberi kesan kepada pengundi?

AHMAD RAZIF: Pada saya, pihak lawan ketandusan modal untuk berkempen dan saya yakin rakyat sudah dapat menilai kempen-kempen terdesak ini demi untuk meraih sokongan pengundi.

Bagi pengundi Seberang Takir, saya yakin mereka tidak termakan dengan isu-isu yang sengaja ditimbulkan pihak lawan ini.

SINAR HARIAN: Di sesetengah tempat kita lihat kempen menyerang peribadi menjadi modal oleh pihak tertentu, bagaimana pandangan Datuk Seri?

AHMAD RAZIF: Sejak dahulu, saya memang tidak gemar dengan kempen sebegini. Politik negara telah berubah dan pada saya semua pihak perlu bersikap matang. Serangan peribadi tidak membawa kita ke mana-mana.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Jadi, bagi saya daripada menyerang peribadi lebih baik kita tumpu kepada perancangan untuk pembangunan di tempat kita. Itu jauh lebih baik berbanding kempen serangan sebegini.

SINAR HARIAN: Umum mengetahui bahawa Datuk Seri akan dicabar oleh Khazan mewakili PN, jadi sejauh manakah Datuk Seri melihat cabaran untuk mempertahankan kerusi DUN Seberang Takir pada PRN kali ini?

AHMAD RAZIF: Saya tidak pandang mudah walaupun calon yang ditonjolkan kali ini (pesaing) adalah calon import dan juga bukan daripada parti Pas tetapi daripada Bersatu. Saya tetap membuat persiapan dan membuat strategi dengan bersungguh-sungguh kerana yang paling penting saya perlu kekal di sini bersama parti BN-Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan Terengganu dengan kerajaan Pusat seiring.

Kalau tidak seiring (antara pentadbiran kerajaan negeri dan Pusat) ia akan jadi seperti yang pernah berlaku pada tahun 1999 yang mana, ia banyak membawa kerugian kepada Terengganu kerana sampai sekarang hutang atau duit yang dibelanjakan oleh kerajaan Pusat sampai sekarang tidak habis lagi dibayar.

Dengan apa yang berlaku pada tahun 1999 dan banyak lagi duit yang belum kerajaan negeri dapat sebenarnya. Jadi, saya nampak ini satu kerugian yang besar kepada rakyat negeri Terengganu dan kita pun tidak boleh hendak jamin (kalau Pas mentadbir lagi selepas PRN kali ini) bahawa duit ihsan atau royalti ini boleh bertahan berapa lama kerana saya dimaklumkan hasil petroleum di Terengganu ini hanya boleh bertahan 15 tahun sahaja lagi.

SINAR HARIAN: Sejauh mana peluang BN untuk mempertahankan 10 kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu selepas kalah semua kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15?

Saya amat yakin (BN dapat pertahankan kemenangan 10 kerusi yang disandang ketika ini) kerana pengundi telah melihat lima tahun di bawah Pas (tetapi pembangunan tidak ada).

Walaupun pihak Pas sangat yakin untuk menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu tetapi jangan lupa bahawa rakyat melihat dan kita tidak boleh banding dengan keputusan yang baru-baru ini (PRU15) sebab keputusan mahkamah kepada Parlimen Kuala Terengganu (didapati berlaku rasuah).

Jadi, saya berharap Pas jangan lagi berhasrat untuk menggunakan kaedah rasuah-rasuah ini walaupun mereka kata derma. Kita lawan secara gentleman dan saya yakin rakyat akan memilih BN-PH kali ini kerana mereka sendiri pun tahu bahawa Pas hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai membuat kerja.

Ia terbukti dengan apa yang berlaku di Terengganu sekarang, kita tengok walaupun mereka kata dapat menyediakan 20,000 pekerjaan tapi kita tidak nampak dekat mana pekerjaan itu.

Insya-ALLAH kita janjikan kepada pengundi sekiranya memilih BN-PH kali ini, maka kita akan pastikan rakyat Terengganu terbela, peluang pekerjaan akan kita beri, projek perumahan dan paling penting pendidikan juga menjadi keutamaan.

SINAR HARIAN: Pada pandangan Datuk Seri, adakah gandingan BN-PH mampu merampas semula Terengganu?

AHMAD RAZIF: Sudah pasti kita yakin sangat sebab saya lihat mood rakyat berlainan sekarang. Saya tidak nampak mood rakyat agresif, tidak seperti sebelum ini.

Saya nampak ramai rakyat yang nampaknya memperakui bahawa projek yang ada di Terengganu adalah hasil perjuangan kerajaan BN sebelum ini dan atas dasar itu saya percaya rakyat atau pengundi tidak sabar untuk menukar kerajaan pada 12 Ogos nanti.

SINAR HARIAN: Baru-baru ini, BN Terengganu telah melancarkan manifesto PRN dan pihak lawan mendakwa apa yang ditawarkan bersifat retorik. Komen Datuk Seri mengenai dakwaan ini?

AHMAD RAZIF: Mereka kata retorik kerana semua yang ditawarkan itu adalah apa yang telah kita laksanakan sebelum ini. Contohnya pemberian e-Book. Pemberian duit kepada pelajar yang dapat memasuki universiti sebanyak RM1,500. Kita mulakan dulu dengan jumlah RM750, kemudian kita naikkan pula ke RM1,000 dan akhirnya mencecah RM1,500. Daripada jumlah itu, RM500 adalah bantuan untuk beli komputer.

Kita buktikan telah laksanakan perkara ini, walaupun akhirnya Pas membatalkan apa yang telah kita buat. Bantuan RM500 itu dibatalkan. Pas juga meniru pemberian insentif kepada pasangan pertama kali berkahwin yang dimulakan oleh BN. Jadi, kita ingin lontarkan persoalan di sini kenapa Pas tidak berani tawarkan apa yang kita telah tawarkan kepada rakyat?

Pas tidak berani tawarkan seperti mana kita laksanakan kerana mereka sedar bahawa kerajaan Pusat tidak akan agihkan duit ihsan atau royalti kepada kerajaan negeri.

Jadi, pengundi kena ingat kalau kita tidak ubah Terengganu bagaimana nasib rakyat tanpa adanya duit ihsan atau royalti. Jadi, rakyat perlu buat keputusan yang terbaik iaitu sokong calon BN-PH.

Apabila kita dapat ambil balik Terengganu, kita akan melaksanakan segala janji manifesto kita yang telah kita lancarkan baru-baru ini.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan