Sila log masuk terlebih dahulu.

Populariti Amirudin lawan pengalaman Azmin
Artikel percuma

08 Ogos 2023 08:35am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

MENJELANG tarikh keramat 12 Ogos ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor terus menjadi tumpuan pemerhati sama ada negeri paling kaya di Malaysia itu kekal menjadi milik Pakatan Harapan (PH) yang kini bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau beralih tangan kepada Perikatan Nasional (PN).

Pemilihan calon serta wajah poster boy di Selangor tentu sahaja lebih menarik kerana ia melibatkan dua individu yang pernah memegang jawatan Menteri Besar.

Percaturan politik PH-BN yang terus menamakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai poster boy tidak mengejutkan apabila beliau pasti memberi kelebihan kepada gabungan itu menerusi rekod pencapaian baik sepanjang lima tahun mentadbir negeri sejak 2008.

Menurut 'Tinjauan Pendapat Pengundi Melayu Selangor' yang dijalankan oleh Endeavour-MGC pada 18 Jun lalu, sebanyak 42 peratus daripada 1,068 responden terdiri daripada pengundi Melayu berdaftar di Selangor berpuas hati dengan kepimpinan Amirudin.

Bahkan kaji selidik itu mendapati majoriti responden pengundi di kerusi-kerusi marginal Dewan Undangan Negeri (DUN) berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemimpin PH di peringkat pusat selain Amirudin sendiri.

Malah responden dalam kajian itu juga mahu Amirudin yang bertanding di DUN Dusun Tua dilantik semula sebagai Menteri Besar jika PH-BN memenangi PRN, Sabtu ini.

Penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, Amirudin adalah calon poster boy yang tepat kerana telah berjaya membuktikan keupayaan beliau mengemudi Selangor sehingga menjadi penyumbang lebih 25 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Prestasi Amirudin dari segi galakan ekonomi dan perdagangan amat memuaskan apabila Selangor mencatat sejarah tersendiri yang mana sumbangan negeri itu kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2022 melebihi satu perempat ekonomi negara.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Sepanjang menjadi Menteri Besar, Amirudin bebas daripada kontroversi melibatkan pentadbirannya. Dasar untuk kebajikan rakyat Selangor turut terjaga.

“Disebabkan Ahli Parlimen Gombak itu mempunyai pengalaman dalam mentadbir Selangor, tentu sahaja beliau pilihan sesuai oleh parti untuk menjadi calon utama mengetuai pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Premium.

Menjawab persoalan tentang kemungkinan PH-BN meletakkan calon muka baharu sebagai Menteri Besar, Awang Azman berpendapat, ia bergantung kepada keputusan PRN nanti.

“Kemungkinan PH-BN meletakkan calon muka baharu bergantung kepada situasi selepas PRN dengan melihat kepada prestasi PH-BN di Selangor atau sekiranya diminta oleh Sultan Selangor.

“Walaupun calon itu dicadang atau dipilih oleh parti, kuasa untuk melantik Menteri Besar tertakluk kepada budi bicara dan kuasa sultan untuk memberi keputusan akhir," katanya.

Azmin jadi taruhan

Dalam pada itu, peluang PN untuk merampas Selangor bergantung kepada 34 kerusi Melayu.

Ia rentetan kemungkinan tempias gelombang hijau PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hujung tahun lalu masih berlarutan sehingga PRN ini.

Jika gelombang hijau atau peralihan undi besar-besaran seperti pada PRU15 lalu diterjemahkan dalam bentuk undian semula pada PRN nanti, maka tidak mustahil PN mampu menang 29 daripada 34 kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu-Islam.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dan sesebuah gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah 29 kerusi untuk mentadbir negeri.

Bagi merealisasikan sokongan pengundi Melayu itu kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, adalah sesuai Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinamakan sebagai poster boy kerana pengaruhnya yang meluas di negeri ini.

“PN mungkin masih lagi menilai siapa poster boy yang mampu mengubah pola pengundi Selangor yang berpihak kepada PH-BN. Mereka mungkin meletakkan calon seperti Mohamed Azmin yang lebih berpengalaman dalam hal ehwal negeri Selangor.

“Sebagai bekas Menteri Besar, Mohamed Azmin mungkin masih mempunyai pengaruh kuat walaupun menghadapi tekanan akibat sejarah pembabitan politik kesan daripada Langkah Sheraton,” katanya.

Tambahnya, PN memerlukan calon yang mempunyai pengaruh yang sama atau lebih kuat untuk menyaingi kehebatan serta pengalaman Amirudin.

“Tidak dinafikan, elemen poster boy memainkan peranan penting khususnya mereka yang mempunyai rekod baik dalam aspek pembangunan dan sosioekonomi. Amirudin turut berjaya mengalahkan Mohamed Azmin pada PRU15 di Parlimen Gombak.

“Ini akan memberi sedikit tekanan kepada PN untuk meletakkan calon yang memiliki ‘pemberat’ yang sama dalam isu menyaingi populariti pentadbiran PH yang telah memuaskan hati rakyat Selangor sebelum ini,” kata Noor Nirwandy.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan