Sila log masuk terlebih dahulu.

Aminuddin masih 'most wanted' di NS
Artikel percuma

08 Ogos 2023 08:25am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SEBELUM ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mendominasi pilihan raya negeri (PRN) ini.

Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Aminuddin masih relevan diangkat sebagai poster boy kerana prestasi yang memuaskan semasa menjadi Menteri Besar, bahkan melaksanakan pelbagai program dan usaha membantu rakyat.

Ini sekali gus menepis khabar angin bahawa Naib Presiden PKR itu bakal ditukarkan kerana didakwa gagal memberi perkhidmatan cemerlang dalam memimpin kerajaan negeri.

Sekiranya keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi sandaran, kedudukan Aminuddin tidak tergugat apabila mencatatkan majoriti undi sebanyak 23,778 dengan pesaing terdekatnya, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kedudukan mutlak gabungan PH-BN di Negeri Sembilan yang menyandang kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 di mana PH menguasai 20 kerusi, manakala BN dengan 16 kerusi.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, setakat ini, tiada isu besar yang mampu menenggelamkan persona Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Aminuddin perlu diangkat sebagai poster boy memandangkan aura beliau mengetuai PH menjadi faktor yang menyumbang kepada kemenangan pakatan di Negeri Sembilan ketika PRU14.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Beliau juga disenangi UMNO yang pada ketika ini berganding bahu sebagai sebuah pakatan longgar di Negeri Sembilan.

“Justeru, Aminuddin ialah calon yang tepat kerana mempunyai sosok mampan untuk mewakili PH dan mengimbangi kerjasama PH-BN,” katanya kepada Sinar Premium.

Biarpun terbit rasa tidak puas hati beberapa pihak terhadap pemilihan calon di DUN Ampangan sehingga suasana menjadi ‘panas’, Mujibu berkata, ia tidak akan menjejaskan reputasi Aminuddin pada PRN ini.“Ia isu terpencil yang sering berlaku dalam semua parti menjelang pilihan raya.

“Hal itu mungkin sedikit sebanyak menjejaskan dinamik di DUN tersebut, namun ia tidak akan menjejaskan PH Negeri Sembilan secara keseluruhan,” jelasnya.

Namun, kata Mujibu, sekiranya berlaku kemerosotan kerusi PH-BN, maka jawatan menteri besar berkemungkinan bertukar milik selepas PRN.

“Jika berlaku keputusan luar jangka, mungkin PH-BN akan mewujudkan jawatan timbalan menteri besar sebagai penimbang antara dua parti serta meredakan tekanan supaya tidak timbul perpecahan dan ancaman kepada keutuhan kerajaan negeri.

“Mungkin tiada masalah untuk menerima ikon seperti Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Menteri Besar sekiranya keputusan memihak kepada BN yang mempunyai lebih banyak kerusi berbanding PH.

“Jika itu berlaku, PH akan menyelesaikannya melalui perbincangan dan persetujuan itu boleh dicapai.

“Namun di atas kertas, kita masih melihat kedudukan status quo yang mana PH mampu memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN,” ujarnya.

Potensi Eddin Syazlee

Berdasarkan keputusan PRU14, PN dilihat sukar menawan Negeri Sembilan bahkan pada PRU15, satu-satunya kerusi Parlimen Kuala Pilah yang pernah dimiliki PN kembali dirampas BN.

Biarpun pengumuman calon Menteri Besar Negeri Sembilan bagi PN belum diumumkan, namun nama bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith disebut-sebut sebagai poster boy.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, Eddin Syazlee ialah calon PN yang sesuai sebagai Menteri Besar kerana faktor anak tempatan dan berpengalaman luas dalam politik.

“Oleh kerana kekurangan figura penting yang boleh diketengahkan, jalan paling selamat untuk PN adalah dengan memfokuskan calon seperti Eddin Syazlee yang pernah mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ahli Parlimen.

“Eddin Syazlee berpengalaman hasil kemenangannya di Parlimen Kuala Pilah sewaktu PRU14 lalu, apabila beliau mengalahkan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah selama 10 tahun iaitu Datuk Seri Hasan Malek,” katanya.

Tegasnya, keputusan meletakkan Eddin Syazlee di DUN Juasseh berkemungkinan disebabkan oleh calon kuat BN yang juga figura tempatan dikenali ramai iaitu Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Ariff Aizuddin juga berkata, peluang kemenangan buat Eddin Syazlee masih ada, namun tidak mudah.

“Secara realistiknya, kita perlu melihat kepada status quo untuk menjelaskan situasi dan sentimen semasa.

“Sewaktu PRU15, Eddin Syazlee kalah teruk dengan calon daripada BN.

“Malah, calon PH berjaya mengatasi kedudukan Bersatu dari segi undi yang diperoleh.

“Maka, jika keadaan seperti itu diterjemahkan sekali lagi dalam PRN ini, calon BN akan mendominasi pertandingan.

“Perlu diingatkan bahawa persaingan kali ini berubah dengan skala yang agak drastik apabila PH bukan lagi seteru politik kepada BN dan mereka merencanakan kerjasama untuk menafikan prestasi PN di Negeri Sembilan,” jelasnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan