Sila log masuk terlebih dahulu.

20 medan tempur paling getir
Artikel percuma

Kerusi marginal bakal beri impak keputusan PRN 6 negeri.

09 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SEKIRANYA keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menjadi ukuran, pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini akan menyaksikan sekurang-kurangnya terdapat 43 kerusi majoriti tipis atau kerusi marginal bawah 1,000 undi yang berpotensi dimenangi oleh mana-mana parti bertanding.

Bagaimanapun, fenomena Parlimen tergantung dan penjajaran semula politik susulan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) selepas PRU15, November lalu, kerusi marginal bagi PH-BN dan lawannya, Perikatan Nasional (PN) pada PRN kini tertumpu di 20 kerusi DUN sahaja.

Angka tersebut diperoleh berdasarkan pecahan undi yang diterima oleh calon Parlimen mengikut kawasan DUN pada PRU15. Di Malaysia, setiap kawasan Parlimen biasanya mempunyai beberapa kawasan DUN.

Statistik umur pengundi bagi PRN enam negeri. Penganalisis menjangka pertambahan jumlah pengundi baharu akan memberi impak kepada kerusi marginal.
Statistik umur pengundi bagi PRN enam negeri. Penganalisis menjangka pertambahan jumlah pengundi baharu akan memberi impak kepada kerusi marginal.

Selepas undi PN dan PH-BN dibandingkan berpandukan data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 20 kerusi menunjukkan perbezaan tipis undi iaitu empat DUN di Pulau Pinang meliputi Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Permatang Pasir; lima DUN di Kedah (Kuah, Pedu, Kubang Rotan, Gurun dan Lunas) dan dua DUN di Terengganu (Hulu Besut dan Telemung).

Bagi tiga lagi negeri, di Selangor terdapat tujuh DUN dikenal pasti iaitu Morib, Selat Klang, Kuang, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sabak dan Sungai Air Tawar, manakala di Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing mempunyai satu DUN marginal iaitu Kemuning dan Bagan Pinang.

Sinar Premium menggunakan indikator kurang 3,000 undi sebagai majoriti tipis di Selangor, manakala lima negeri lain kurang 2,000 undi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, julat majoriti undi tipis bagi mengunjurkan kerusi marginal PRN enam negeri tidak boleh terikat dengan definisi bawah 1,000 undi, memandangkan terdapat penambahan pemilih baharu yang ketara pasca PRU15.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sebagai contoh, beliau mengatakan di Selangor, jumlah penambahan pemilih baharu meningkat sebanyak 69,209 orang, manakala penambahan bagi lima negeri lain adalah antara 7,000 hingga 13,000 pengundi baharu.

“Selain itu, pembentukan konfigurasi politik baharu pasca PRU15 menyebabkan penentuan status kerusi marginal bergantung kepada sejauh mana kadar peratusan keluar mengundi dicatatkan pada PRN kali ini di samping kadar kebolehpindahan undi (transferable vote) antara penyokong PH-BN.

“Atas kertas, pengiraan kerusi marginal yang telah digariskan adalah berdasarkan senario kejayaan PH-BN memastikan proses transferable vote antara kedua-dua penyokong parti berkenaan berlaku 100 peratus selain peratusan keluar mengundi sama seperti PRU15 iaitu 74 peratus.

“Namun, senario itu berpotensi berubah dengan kerusi-kerusi marginal ini mungkin menjadi kerusi deposit tetap parti-parti tertentu, jika faktor transferable vote tidak capai 100 peratus, sebaliknya berlaku swing vote pengundi PH-BN kepada PN,” katanya kepada Sinar Premium.

Sejumlah 21 kerusi marginal terkini dikenal pasti Sinar Premium menjelang PRN enam negeri, 12 Ogos ini.
Sejumlah 21 kerusi marginal terkini dikenal pasti Sinar Premium menjelang PRN enam negeri, 12 Ogos ini.

14 kerusi bakal milik PH-BN

Berdasarkan unjuran Sinar Premium, daripada 20 kerusi marginal itu, gabungan PH-BN dijangka mempunyai kelebihan untuk memenangi 14 kerusi, manakala PN berpotensi menguasai enam kerusi lagi.

Kerusi-kerusi marginal yang kemungkinan besar dimenangi PH-BN adalah DUN Bagan Pinang, Kuang, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sungai Air Tawar, Hulu Besut, Telemung dan Sungai Dua yang ditandingi calon BN.Selain itu, kerusi DUN Sabak, Lunas, Gurun, Kubang Rotan, Kuah dan Permatang Pasir juga diunjurkan mampu direbut koalisi PH-BN menerusi calon PH.

Bagi enam kerusi marginal dijangka dikuasai PN ialah DUN Morib dan Selat Klang (Bersatu); serta Kemuning, Pedu, Permatang Berangan dan Penaga (Pas).

“Majoriti kerusi marginal dikenal pasti pada PRN ini sememangnya merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu di mana kawasan berkenaan dianggap medan tempur paling getir bagi parti-parti politik bertanding.

“Ini disebabkan gelombang hijau peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN telah berlangsung pada PRU15 dan PRN kali ini menjadi medan ujian sama ada kewujudan pakatan politik baharu PH-BN mampu membendung penguasaan PN dalam segmen pengundi Melayu atau sebaliknya.

“Secara rambang, kesemua kerusi majoriti lebih 50 peratus pengundi Melayu boleh dianggap sebagai kerusi marginal dengan Selangor mencatatkan jumlah kerusi marginal tertinggi iaitu sebanyak 39 DUN,” jelas Pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan