Sila log masuk terlebih dahulu.

Kon Yeow harap kerjasama PH-BN cipta kemenangan
Artikel percuma

09 Ogos 2023 07:15am | Masa membaca: 4 minit
Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

NAMA Chow Kon Yeow sekali lagi diangkat sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Keputusan sebulat suara DAP yang menamakan Pengerusi PH Pulau Pinang itu sebagai poster boy diutarakan oleh Anthony Loke Siew Fook selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti termasuk Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

Biarpun wujud komplot menjatuhkan Kon Yeow di samping khabar angin bahawa beliau tidak akan dilantik menjadi Ketua Menteri selepas PRN atas konflik dalaman parti, namun ia dilihat tidak mampu menjejaskan reputasi serta menggugat kedudukan beliau mentadbir kerajaan negeri sejak tahun 2018.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Syajaratulhuda Mohamad Rosli bersama Kon Yeow dalam menempuh cabaran mempertahankan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

SINAR HARIAN: Sebelum ini terdapat khabar angin mengenai penukaran Ketua Menteri Pulau Pinang kononnya adanya desakan dalaman daripada DAP dan mengembalikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk menjawat jawatan tersebut. Adakah anda tahu bahawa wujudnya komplot menjatuhkan anda kerana didakwa tidak menunjukkan keberkesanan dalam memimpin kerajaan negeri?

KON YEOW: Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri selama dua penggal, saya berhasrat untuk berkhidmat dalam tempoh tersebut namun ia menjadi tanda tanya selepas isu-isu seperti ini dibangkitkan.

Bagaimanapun, Guan Eng dalam kenyataannya berkata akan terus sokong saya menjadi Ketua Menteri dan tidak berminat merebut apa-apa jawatan seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Dengan keputusan DAP untuk mengekalkan saya sebagai calon Ketua Menteri, saya menganggap kontroversi ini sudah tamat dan memberi fokus kepada kempen untuk PRN. Sekiranya diberi mandat sekali lagi, saya akan mula fikirkan pembentukan kerajaan yang baharu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kon Yeow meneruskan siri jelajah mesra bersama penduduk tempatan 
di Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang.
Kon Yeow meneruskan siri jelajah mesra bersama penduduk tempatan di Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang.

SINAR HARIAN: Penganalisis politik menjangkakan Perikatan Nasional (PN) boleh memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang. Apa pandangan anda mengenai hal ini? Mampukah gabungan marriage of convenience PH-BN yang kelihatan masih samar di mata pengundi mampu mengekalkan Pulau Pinang sebagai negeri kubu kuat DAP pada PRN ini?

KON YEOW: Sememangnya kita berharap semua pengundi dapat turun beramai-ramai untuk menunaikan kewajipan dan memilih kerajaan negeri.

Tidak dinafikan, PN ada kelebihan dalam beberapa kerusi majoriti pengundi Melayu. Namun, itu berdasarkan kepada keadaan pilihan raya umum (PRU) lepas manakala PRN kali ini melibatkan isu-isu yang tidak sama seperti PRU lalu.

Saya berharap rakyat dapat menilai prestasi kita sebagai landasan untuk membuat keputusan. Saya yakin kerajaan negeri hari ini telah melakukan usaha sebaik mungkin untuk memastikan Pulau Pinang terus maju.

SINAR HARIAN: Dominasi DAP dan PH di Pulau Pinang terjejas apabila fenomena gelombang peralihan pengundi Melayu yang memihak kepada PN pada PRU15. Pada pandangan anda, adakah gelombang hijau mampu tembus ‘tembok besar’ DAP yang membentuk kerajaan campuran sejak tahun 2008?

KON YEOW: Itu suatu cabaran yang perlu diatasi. Semasa pelancaran manifesto DAP-UMNO, kami komited dalam memastikan penyokong parti masing-masing akan membuang undi kepada Kerajaan Perpaduan.

Bagi PH, kami menyeru penyokong untuk mengundi calon PH di kawasan yang ditandingi parti, begitu juga sebaliknya bagi BN.

Saya berharap rakan kerjasama BN dapat menggerakkan keahlian mereka untuk menyokong PH bagi kawasan yang tidak ditandingi oleh mereka supaya kita semua memperoleh kemenangan bersama.

Kon Yeow bersama jentera Pakatan Harapan menyantuni penduduk di Flat Jalan Kedah, Georgetown, Pulau Pinang pada 6 Ogos lalu.
Kon Yeow bersama jentera Pakatan Harapan menyantuni penduduk di Flat Jalan Kedah, Georgetown, Pulau Pinang pada 6 Ogos lalu.

SINAR HARIAN: Terdapat kemungkinan wujud pola pengundian penyokong UMNO tidak memihak kepada calon PH, sekali gus melakukan swing vote kepada PN dan menyebabkan PH-BN kehilangan kerusi DUN majoriti Melayu. Apa pandangan anda mengenai isu ini? Mampukah gabungan PH-BN menang dengan mengharapkan beberapa kerusi marginal di Pulau Pinang?

KON YEOW: Pembentukan Kerajaan Perpaduan memainkan peranan besar pada pasca PRU. Sehingga kini, Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dan saya berharap gabungan ini dapat beri kerjasama dalam memastikan undi-undi dapat dipindahkan kepada PH mahupun BN di kawasan yang kita tandingi untuk jamin kemenangan kedua-dua pihak.

Sekiranya kita dapat menggembleng tenaga dan kuasa yang diberikan oleh rakyat, PH-BN ada kelebihan untuk menang banyak kerusi marginal hasil daripada kelebihan gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan