Sila log masuk terlebih dahulu.

Sokongan PN luar biasa di Pulau Pinang - Dominic
Artikel percuma

09 Ogos 2023 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PADA ketika ini Perikatan Nasional (PN) masih tidak menamakan mana-mana calon daripada koalisi parti itu untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang andai berjaya merobohkan ‘tembok besar’ DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) ini.

Namun, nama Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dilihat antara calon yang bersesuaian memandangkan beliau merupakan ketua parti mewakili kaum bukan Melayu.

Pun begitu, ketika awal namanya diumumkan sebagai calon DUN Bayan Lepas, berlaku sedikit kontroversi apabila kerusi yang secara tradisinya ditandingi oleh Pas, diberikan kepada Dominic yang sedikit sebanyak boleh merencatkan percaturan di DUN berkenaan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman bersama Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berdepan cabaran dan rintangan menjelang PRN nanti.

SINAR HARIAN: Nama Datuk disebut-sebut sebagai pesaing Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada PRN. Apa pandangan Datuk mengenai perkara ini?

DOMINIC: Terlebih dahulu, saya ingin berterima kasih kepada sesiapa yang merasakan saya sesuai menjadi calon Ketua Menteri Pulau Pinang. Namun, telah ada persetujuan yang mana kami tidak akan membincangkan siapa individu berkenaan jika mandat diberikan kepada PN.

Ini susulan timbulnya isu mengenai perebutan dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti yang mahu menjadi Ketua Menteri sebelum pilihan raya selepas Gerakan kalah dan hilang kuasa dalam mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang pada tahun 2008.

Disebabkan itu, kami tidak mahu perkara ini berulang kembali dan mempersetujui syarat untuk tidak membincangkan soal jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar bukan sahaja di Pulau Pinang malah di semua enam negeri. Ia hanya akan diumumkan selepas diberi mandat oleh rakyat.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

SINAR HARIAN: Sebelum ini tular sekumpulan akar umbi Pas membantah pencalonan Dominic di kawasan DUN Bayan Lepas. Adakah situasi ini menggugat sokongan pengundi terhadap Datuk?

DOMINIC: Mengenai isu rundingan kerusi, sememangnya ia satu proses yang tidak mudah. Pastinya setiap parti mempunyai kehendak untuk bertanding di kerusi tertentu malah beberapa rakan komponen juga akan menunjukkan hasrat bertanding di kawasan yang sama.

Namun, kita ada proses rundingan yang diadakan secara peringkat cawangan, bahagian dan negeri tetapi keputusan akhir calon yang akan mewakili PN diputuskan di Peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional Pusat.

Saya faham pasti ada yang kecewa apabila hasrat mereka untuk bertanding mewakili PN tidak kesampaian. Namun, ini adalah proses biasa yang perlu kita terima dengan hati terbuka kerana ketetapan itu (senarai calon) hanya Majlis Presiden yang tentukan.

Atas semangat kebersamaan PN, semua rakan-rakan komponen perlu bersatu hati untuk mendapatkan mandat, sokongan dan undi daripada masyarakat.

SINAR HARIAN: Dalam tempoh berkempen ini, apa masalah yang dihadapi rakyat di DUN Bayan Lepas?

DOMINIC: Sejak hari penamaan calon sehingga kini, kami menerima sambutan yang positif daripada masyarakat melalui kempen-kempen yang diadakan. Ramai yang memberi sokongan dan mahu PN membawa perubahan di Bayan Lepas.

Banyak aduan serta suara tidak puas hati diluahkan masyarakat yang kecewa dan diperdaya dengan janji-janji sebelum pilihan raya oleh kerajaan negeri dan persekutuan seperti penurunan harga minyak.

Selain itu, negara dibebani dengan masalah kos sara hidup, inflasi dan harga barang meningkat. Bagi isu tempatan pula, penduduk di sini tidak setuju dengan projek tambak laut yang akan menjejaskan alam sekitar dan hidupan marin.

Kami juga senada dengan penduduk tempatan dan membantah penempatan 40,000 pekerja asing yang ditempatkan di Bayan Lepas kerana ia dapat mengancam keselamatan mereka.

Oleh itu, PRN kali ini akan menjadi satu referendum untuk menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SINAR HARIAN: Secara tradisinya, pemilihan Ketua Menteri Pulau Pinang adalah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa Cina. Sekiranya PN meraih kemenangan, adakah Datuk bersedia meneruskan legasi dan menggalas tanggungjawab tersebut?

DOMINIC: Sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang perlu mempunyai ciri-ciri yang boleh memimpin kerajaan negeri. Kita mempunyai ramai pemimpin yang layak dalam PN untuk diangkat menjadi Ketua Menteri.

Namun, apa yang lebih penting sekarang ini adalah untuk menumpukan perhatian dalam mendapatkan mandat, sokongan dan undi daripada masyarakat Bayan Lepas.

SINAR HARIAN: Adakah Datuk yakin PN mampu menawan Pulau Pinang memandangkan gelombang hijau yang berlaku pada PRU15 lalu turut dirasai di negeri ini?

DOMINIC: Sepanjang kami turun berkempen bersama dengan pengundi-pengundi dan masyarakat di Bayan Lepas, saya melihat sokongan rakyat terhadap PN kian meningkat.

Ini bukan gelombang hijau tetapi gelombang rakyat yang bangkit dan mahu memberikan peluang kepada PN untuk memimpin bukan sahaja di enam negeri tetapi juga di peringkat Pusat.

Sekiranya PN ingin memerintah kerajaan Pulau Pinang, mereka mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 21 kawasan.

Oleh itu, fokus kami adalah untuk memenangi sebanyak kerusi yang boleh terutamanya di kawasan yang berpotensi.

Gerakan merupakan parti yang berpengalaman luas dalam urus tadbir dan pemerintahan negeri selama 39 tahun yang didahului oleh Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Tun Lim Chong Eu selama 21 tahun dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon selama 18 tahun.

Bayan Lepas yang kini megah dengan kawasan perindustrian silicon valley dahulunya adalah kampung nelayan yang telah diusahakan dan dimajukan oleh Gerakan. Namun, saya lihat banyak pelabur-pelabur bukan sahaja tidak kekal di Pulau Pinang malah ditarik keluar ke Kulim dan negeri lain untuk melabur kerana tiada faktor saingan.

Oleh itu, sekiranya mandat diberikan kepada PN dan gabungan koalisinya, kami akan memastikan segala janji dan manifesto akan ditunaikan.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan