Sila log masuk terlebih dahulu.

Perlu asas tertentu cabar keputusan
Artikel percuma

15 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu menyaksikan sejumlah 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi calon koalisi Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti kurang 1,000 undi.

Jumlah itu melibatkan 11 kerusi DUN di Negeri Sembilan, Selangor (9), Kelantan (2), Pulau Pinang (2) serta masing-masing satu di Kedah serta Terengganu.Mengikut parti pula, PN merekodkan 11 kerusi DUN dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi diikuti BN (10), manakala PH dengan lima kerusi DUN.

Paling mencuri tumpuan ialah kerusi DUN Taman Medan yang dimenangi oleh calon PN, Dr Afif Bahardin mengatasi wakil PH, Ahmad Akhir Pawan Chik dengan majoriti 30 undi sahaja.

Afif menang setelah meraih 22,316 undi, manakala Ahmad Akhir mengumpul 22,286 undi.

Turut mencuri tumpuan ialah kejayaan penyandang kerusi DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang beralih arah dari PH pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) lalu kepada PN, selepas berlakunya Langkah Sheraton, Februari 2020.

Muhammad Hilman yang mendapat undi sebanyak 30,299, menang dengan 58 undian mengatasi Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang meraih 30,241 undi.

Satu lagi kerusi adalah DUN Juasseh yang menyaksikan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, isteri kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad, menewaskan calon PN, Datuk Eddin Syazlee Shith dengan majoriti 78 kerusi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Bibi Sharliza memperoleh 4,549 undi mengatasi Eddin Syazlee yang juga mantan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dengan 4,471 undi.

Petisyen

Kemenangan dengan majoriti kecil atau kurang daripada 1,000 menyebabkan ketua parti negeri bercadang memfailkan petisyen pilihan raya beberapa kerusi yang dimenangi bagi membatalkan keputusan dalam PRN itu.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari misalnya, mengesahkan koalisi PH-BN bercadang memfailkan empat petisyen pilihan raya, bagi membatalkan keputusan PRN di Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang mana majoriti kemenangan adalah rendah.

Amirudin menegaskan, keputusan bagi empat kerusi terbabit menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Persoalannya, adakah petisyen pilihan raya berkenaan akan memberikan kelebihan kepada pihak yang menuntut memandangkan petisyen berkenaan perlu berdasarkan asas tertentu?

Tambahan pula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini pernah menegaskan pengiraan semula hanya boleh dibuat di saluran, bukannya di pusat penjumlahan rasmi undi, sekiranya majoriti diperoleh pemenang kurang daripada empat peratus.

Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, biarpun seseorang calon menang dengan majoriti kecil, namun tidak semestinya petisyen pilihan raya difailkan parti lawan di mahkamah tinggi akan berjaya.

Jelasnya, petisyen itu hanya dikemukakan ke Mahkamah Tinggi sekiranya berlaku kesalahan seperti sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang mungkin telah menjejaskan keputusan pilihan raya terbabit.

“Pihak berkenaan juga boleh memfailkan petisyen jika mereka mendapati berlaku ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya oleh mana-mana pihak.

“Petisyen pilihan raya juga boleh difailkan jika berlaku perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon dan ejen mereka seperti terjadi dalam kes pembatalan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, sebelum ini,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata, setiap petisyen pilihan raya mestilah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi dalam masa 21 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan dalam warta.

Berikutan itu, Haniff Khatri berkata, pihak yang mahu mengemukakan petisyen perlu menyediakan pelbagai bukti kukuh termasuk rakaman video, gambar dan sebagainya kepada mahkamah jika mahu membatalkan keputusan PRN lalu.

“Selepas menjalankan perbicaraan ke atas petisyen berkenaan, jika hakim memutuskan keputusannya tidak sah, maka SPR akan mengeluarkan notis yang menyatakan bahawa satu pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan,” katanya.

Punca

Merungkai faktor utama 26 lokasi itu merekodkan keputusan majoriti yang rendah, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim melihat saingan sengit berlaku bagi memenangi hati pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, persaingan menjadi lebih sengit sekiranya kerusi itu turut ditandingi oleh Bebas atau parti kecil seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sekali gus menyebabkan wakil PH-BN atau PN menang di kawasan tersebut dengan majoriti tipis.

Katanya, sebagai contoh di Selangor terdapat beberapa kerusi dimenangi PN termasuk di DUN Gombak Setia dan Sungai Kandis dengan majoriti tipis kerana faktor kehadiran parti calon Muda.

“Biarpun calon Muda kalah dan hilang deposit, kehadiran mereka sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan PRN kerana psikografi pengundinya ialah penyokong PH dan anak muda.

“Jika Muda tidak bertanding di kerusi terbabit maka tidak mustahil calon PH-BN akan menang di beberapa DUN berkenaan,” katanya.

Mohd Yusri menambah, satu lagi faktor calon DUN menang dengan majoriti kecil adalah kerana ramai pengundi muda, golongan atas pagar dan pengundi luar tidak pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan