SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung jawatannya apabila menyaksikan parti itu tewas teruk selepas 30 tahun di negeri berkenaan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
Ahmad Jazlan setakat ini belum memikirkan soal kedudukannya termasuk sebagai Pengerusi UMNO negeri kerana tidak mahu membuat keputusan terburu-buru di saat keadaan parti yang masih lagi bercelaru.
“Kita mesti membuat keputusan selepas keadaan menjadi tenang. Namun begitu, apa pun pelantikan sebagai Pengerusi UMNO dan BN Kelantan terletak di bawah kuasa budi bicara Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jadi saya serahkan kepada Ahmad Zahid untuk menentukannya,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Dalam PRN itu, BN Kelantan hanya mengekalkan kemenangan di satu kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas melalui Mohd Syahbuddin Hashim walaupun mempertaruhkan seramai 31 calon.
Mohd Syahbuddin mempertahankan kemenangannya selepas meraih 10,724 undi menewaskan calon Pas, Mohd Tarmizi Abd Rahman yang memperoleh 7,405 undi.
Sementara rakan koalisi BN, Pakatan Harapan (PH) menang di DUN Kota Lama melalui calon Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Hafidzah Mustakim.
Dr Hafidzah meraih 9,695 undi sekali gus mencipta kejutan menewaskan calon Pas, Datuk Zamri Ismail yang hanya memperoleh 9,489 undi.
Mengulas kekalahan BN, Ahmad Jazlan mengakui tidak menyangka partinya akan kalah teruk.
“Saya bukan mengharapkan koalisi BN-PH dapat merampas Kelantan. Kita sudah hilang kerusi berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu namun tidaklah seteruk ini. Gabungan BN-PH hanya menang dua kerusi.
“Punca utama kekalahan BN di Kelantan ialah kerana rakyat di negeri ini masih percaya kepada kepimpinan Pas. Rakyat Kelantan berpandangan apa yang Pas buat selama lebih 33 tahun adalah cukup baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yakin UMNO mampu bangkit memenangi kembali kepercayaan rakyat termasuk di Kelantan menjelang PRU16 nanti.
“Dalam politik tiada perkara yang mustahil dan tidak pernah ada istilah kita tiada peluang untuk bangkit semula. Sebagai contoh, dulu Perikatan Nasional (PN) kalah teruk dalam PRN Melaka dan Johor, namun sekarang mereka berjaya bangkit dan menang banyak kerusi. Jadi saya yakin BN juga mampu jika kita bekerja keras pada PRU16 nanti,” dedahnya.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan BN Kelantan akan mengemukakan petisyen berhubung keputusan PRN lalu ke mahkamah tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, saya akan memberi tempoh bertenang selama beberapa hari kepada calon BN sebelum mengadakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan muktamad sama ada mahu memfailkan petisyen terhadap keputusan PRN atau tidak,” ujarnya.
TAK PERLU LETAK JAWATAN
Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Timbalannya, Datuk Johan Abd Aziz pula menegaskan tiada keperluan untuk mereka meletakkan jawatan berikutan parti itu hanya meraih kemenangan di dua kerusi DUN.
Johan berkata, mereka berdua akan mengambil tanggungjawab untuk memulihkan kembali kekuatan UMNO dan BN di negeri itu sebelum berdepan PRU16.
“Buat apa kami nak meletakkan jawatan kerana dulu PH (ketika menjadi pembangkang) pun hanya menang dua kerusi DUN semasa PRU2004 tetapi sekarang sudah tiga penggal mereka menerajui kerajaan Selangor.
“Landskap politik sentiasa berubah, jadi kita akan mengambil tanggungjawab untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat kepada BN kerana kita baharu beberapa bulan bergabung dengan PH dan DAP membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Malah, saya dulu pernah menjadi pembangkang semasa PH mula mengambil alih kerajaan negeri. Namun sekarang, walaupun UMNO hanya menang dua kerusi (DUN Air Tawar dan DUN Dusun Tua) tetapi kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran di Selangor,” katanya.
Justeru, Johan yang menang kerusi DUN Dusun Tua berpandangan bahawa sekarang adalah masa terbaik bagi UMNO membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan disertai mereka sentiasa membela nasib semua kaum.
TERENGGANU
Sementara itu, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya masih meneliti punca sebenar BN gagal meraih sebarang kerusi termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
“Buat masa sekarang saya tidak mahu mengulas lanjut kerana kita masih mengkaji punca sebenar BN kalah semua kerusi DUN, selain kalah dalam PRK Kuala Terengganu,” jelasnya.
Selain Selangor, Terengganu dan Kelantan, BN turut berdepan situasi sama di Kedah namun Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas.
BN Kedah mempertaruhkan 14 calon namun kesemuanya gagal meraih kemenangan.