Sila log masuk terlebih dahulu.

Hala tuju UMNO pasca PRN
Artikel percuma

19 Ogos 2023 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

Seperti diramalkan, keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu lalu mengekalkan status quo. Sungguhpun begitu, ibarat bertinju, walaupun status quo (baca: seri), kecederaan dialami Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) lebih parah berbanding Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, PN cemerlang menguasai 146 kerusi daripada 245 kerusi dipertandingkan, diikuti PH (80) dan BN (19). Namun, kesimpulan jelas daripada statistik tersebut ialah penolakan orang Melayu kepada PH-BN yang semakin membesar dan merebak ke kawasan-kawasan selamat mereka.

Daripada perspektif parti, DAP dan Pas paling cemerlang. DAP menang 46 daripada 47 kerusi ditandingi dengan peratusan kemenangan sebanyak 97.9 peratus.

Ia diikuti oleh Pas sebanyak 105 kerusi daripada 127 kerusi (82.7 peratus), Bersatu 40-81 (49.4 peratus), PKR 26-59 kerusi (44.1peratus), Amanah 8-23 kerusi (25.8 peratus), UMNO 19-108 (17.6 peratus) dan Gerakan 1-36 kerusi (2.7 peratus).

Namun, keputusan PRN masih memperlihatkan pola pengundian serupa dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Di sebalik keputusan, pemindahan undi masih terbelah disebabkan polarisasi kaum seimbang antara Melayu dan bukan Melayu.

Kedua-dua gabungan masih tidak berupaya menarik pemindahan undi yang signifikan bagi memecahkan status quo. Hal itu sangat penting jika berhasrat untuk membentuk kerajaan walaupun dua pilihan raya tersebut memperlihatkan keputusan yang dijangka umum – PN terus menguasai undi Melayu, PH menguasai undi bukan Melayu, manakala UMNO terus bergulat merebut undi Melayu di belakang Pas dan Bersatu.

Seperti penulisan sebelumnya, perbincangan pasca PRN akan lebih menarik berbanding PRN itu sendiri selepas mengambil kira jangkaan awal UMNO bakal kalah teruk di negeri bermajoriti Melayu. Dengan jangkaan telah menjadi kenyataan, hala tuju UMNO pasca PRN menjadi fokus seterusnya.

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Ahad lalu menyokong hal tersebut. Beliau menerusi hantaran di Facebooknya menyatakan ramai bercakap mengenai kekalahan besar UMNO pada PRN berbanding kemenangan besar parti lain, yang bermaksud ramai masih sayangkan UMNO tetapi tidak percaya kepada UMNO.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Penulis bersetuju dengan kenyataan beliau. Hasil kajian lapangan Ilham Centre ketika PRN memperlihatkan faktor terbesar penolakan orang Melayu terhadap UMNO disebabkan marah dan kecewa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun pelbagai faktor turut menyumbang kepada penolakan tersebut, dapatan kajian Ilham Centre terhadap dua kelompok kritikal – akar umbi UMNO dan pengundi atas pagar secara konsensus menyatakan jawapan sedemikian.

Ketika sentimen anti-Zahid dan tekanan agar beliau meletak jawatan semakin kuat, UMNO jelas berdepan krisis keyakinan terbesar dalam sejarahnya.

Benar, ini bukan pertama kali UMNO bermasalah, namun seperti ketika 2008 (era Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan 2018 (Datuk Seri Najib Tun Razak), kedua-dua tokoh tersebut berjiwa besar memikul tanggungjawab atas pencapaian buruk parti selepas pilihan raya.

Berbanding kini, UMNO sudah dua kali mencatatkan rekod buruk di bawah Ahmad Zahid (PRU15 dan enam PRN) di sebalik UMNO menang bergaya pada PRN Melaka serta Johor.

Namun, dalam konteks lebih besar mengambil kira UMNO sebagai parti utama orang Melayu, perbandingan pencapaian tersebut nyata bertentangan.

Yang jelas, UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu, malah tidak lagi diyakini sebagai parti berjasa untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan orang Melayu dalam segenap aspek, teras utama sokongan kelompok pengundi atas pagar serta akar umbi kepada UMNO sebelumnya.

Melihat ke hadapan, UMNO perlu melakukan sesuatu dengan cepat dan pantas. Keputusan PRN memperlihatkan UMNO akan terus ditolak andai perubahan besar tidak diambil dengan pantas bagi meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO boleh berubah terutama terhadap dua kelompok kritikal tersebut.

Persoalannya, apakah perubahan cepat dan pantas yang perlu dilakukan oleh UMNO sekarang? Kata orang lama, adat periuk berkerak, adat lesung berdedak. Biar jatuh terletak, jangan jatuh terhempas.

Justeru, pilihan UMNO hanyalah berubah atau mahu terus dilapah, maka pilihlah.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan