Sila log masuk terlebih dahulu.

Ekonomi MADANI
Artikel percuma

Mampu cetus inovasi ekonomi perkasakan rakyat, negara

21 Ogos 2023 07:35am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

KETIKA meluncurkan inisiatif Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal ucapannya telah menggariskan dua fokus utama.

Ekonomi MADANI bertujuan menstrukturkan semula ekonomi Malaysia supaya kembali gah menjadi peneraju ekonomi Asia dan kualiti hidup rakyat terus diangkat melalui pemecutan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih inovatif serta berdaya saing yang mampu bersaing di peringkat pasaran global.

Untuk mengupasnya dengan lebih mendalam, ikuti temu ramah khas dengan ahli ekonomi, DR NUNGSARI AHMAD RADHI berkaitan ekonomi MADANI dan bagaimana ia dikatakan dapat memperkasakan rakyat dan negara ini.

SINAR HARIAN: Apakah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat dan apakah manfaatnya kepada rakyat marhaen?

DR NUNGSARI: Ekonomi MADANI bermula daripada satu falsafah bahawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi berpunca daripada faktor kemasyarakatan, nilai dan norma masyarakat.

Justeru, sesuatu konsep dan dasar pembangunan ekonomi perlu berlandaskan faktor kemasyarakatan, iaitu faktor-faktor ketamadunan dianjurkan oleh Malaysia MADANI.

Sebab itulah Ekonomi MADANI menekankan soal nilai dan pembangunan serta kawal selia institusi dalam masyarakat – institusi kemasyarakatan mahupun ekonomi.

Aspek ketamadunan ini selari dengan asas pembentukan Malaysia seperti diharapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kita juga mengambil iktibar daripada dasar lampau yang semuanya berhasrat untuk membangunkan negara tetapi gagal mencapai matlamat diharapkan.

Jadi kita harus bertanya, apakah matlamat asas Ekonomi MADANI? Menyedari akan ekonomi negara berada di atas satu landasan yang semakin perlahan, kadar pertumbuhannya semakin meruncing, ketidaksamaan agihan pendapatan dan kekayaannya serta ekonomi yang kelemahan daya saing untuk menarik keyakinan pelabur, kerangka Ekonomi MADANI bermatlamat melakukan reformasi untuk mengalih ke landasan lebih baik yang bukan sahaja mengembalikan kecergasan ekonomi negara tetapi juga menjana pertumbuhan yang meningkatkan kesejahteraan rakyat dan daya saing negara.

Kerangka Ekonomi MADANI ialah membina semula ‘Rumah Malaysia’ dengan mengukuhkan asasnya, meningkatkan lantainya, meninggikan siling serta membangunkan tiangnya.

Asasnya ialah kerangka tadbir urus dan kawal selia. Lantainya, usaha membekalkan jaringan keselamatan sosial kepada seluruh rakyat.

Silingnya ialah usaha menjana pertumbuhan dan daya saing negara. Tiangnya ialah penggerak Rumah Malaysia terdiri daripada sektor awam, sektor swasta serta sektor ketiga yang akan ditekankan oleh dasar ini iaitu sektor sukarela (bukan untuk keuntungan) dan amanah serta wakaf.

Ada pakar-pakar ekonomi berkata, Ekonomi MADANI tidak banyak berbeza dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diketengahkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kedua-duanya masih kurang membawa impak kepada rakyat. Apakah pandangan ini bernas dan jika tidak, apakah pendekatan Ekonomi MADANI yang berbeza dengan MEB?

Saya tidak mahu respons kepada fakta yang mereka guna (daripada DOSM) adalah alasan untuk mewujudkan Ekonomi MADANI.

Yang kita sangkal ialah dakwaan mengatakan Ekonomi MADANI sama dengan MEB. MEB bukan berteraskan aspek ketamadunan dan kemasyarakatan. Ia juga tidak dilaksanakan dengan betul. Najib melaksanakan ETP yang berteraskan projek, bukan MEB.

Rakyat Malaysia sudah biasa mendengar saban tahun bahawa ekonomi negara atau Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengembang tiap-tiap tahun. Namun, manfaatnya tidak dapat dirasai rakyat yang berdepan cabaran kehidupan harian.

Apakah sebabnya ini terjadi dan adakah Ekonomi MADANI mempunyai solusi untuk ketidakselarasan antara KDNK dan kualiti hidup rakyat?

Perdana Menteri sendiri menggunakan alasan ini bahawa apa guna pertumbuhan yang tidak saksama agihan manfaatnya?

Sudahlah semakin perlahan, tidak saksama pula agihannya. Ini antara premis Ekonomi MADANI yang saya jelaskan.

Jika kita melihat kepada kegiatan ekonomi yang menjana pertumbuhan, kita saksikan beberapa ciri yang boleh menjelaskan tahap gaji yang keseluruhannya rendah serta taburan manfaat tidak seimbang.

Pertamanya, ekonomi negara masih tersangkut kepada kegiatan seperti perladangan dan sektor komoditi yang merupakan satu warisan penjajahan di mana kegiatannya menggunakan modal dan teknologi yang sedikit, tanah luas dan tenaga kerja ramai.

Ini menyebabkan pendapatan yang diagihkan kepada buruh dalam bentuk upah adalah rendah. Sektor pembuatan juga hanya banyak melibatkan pemasangan yang mana nilai tambahnya rendah.

Oleh itu, gajinya juga rendah. Begitu juga sektor pembinaan yang mana penggunaan teknologi adalah rendah dan gajinya rendah. Tambahan pula, pekerja asing berkemahiran rendah dimasukkan dengan begitu ramai yang juga menekankan lagi upah.

Sektor perkhidmatan di Malaysia pula kecuali yang melibatkan pelancongan adalah sektor yang bergantung kepada permintaan domestik semata-mata. Pasaran domestik, tahap pendapatan yang tidak tinggi dan kuasa beli yang tidak tinggi.

Kita masuk dalam satu kitaran yang menjadikan ekonomi kita semakin domestik yang bergantung kepada permintaan yang pendapatan tidak tinggi serta upah tidak tinggi.

Selagi kita tidak mengubah struktur ini, memperbaiki daya saing negara, meningkatkan kehadiran syarikat Malaysia di pasaran antarabangsa, membesarkan perdagangan luar negara, selagi itu kita tidak boleh meletakkan Malaysia di landasan baharu yang lebih memanfaatkan rakyat dan membina kesejahteraan negara amnya.

Satu lagi masalah besar dihadapi rakyat adalah kos makanan yang mencanak naik. Walaupun Kerajaan MADANI sering menghebahkan penguncupan inflasi selepas penukaran kerajaan, hakikatnya apabila terdapat inflasi, harga makanan dan barang asas masih meningkat.

Fenomena inflasi datang dari pelbagai punca. Pertamanya ialah fenomena global disebabkan oleh peperangan Rusia-Ukraine yang sekali gus menjejaskan perdagangan makanan dunia selain kenaikan kadar faedah yang mendadak di Amerika Syarikat (AS). Ini menyebabkan kadar tukaran dolar AS mengukuh berbanding mata wang lain termasuk Ringgit Malaysia (RM).

Akibatnya, semua nilai barangan serta perkhidmatan diimport naik harga. Oleh kerana Malaysia mengimport banyak makanan, harga makanan naik.

Fenomena inflasi ini sudah memuncak. Tekanan harga untuk meningkat lagi berkurangan tetapi harga telah naik di masa lepas. Antara dilakukan untuk mengawal inflasi ialah kerajaan bertindak dengan berhemah supaya pasaran mempunyai keyakinan dengan masa depan negara.

Antara lain, kerajaan menekankan soal tadbir urus dan memperbaiki pengurusan kewangannya. Pelancaran Ekonomi MADANI juga merupakan satu usaha meletakkan segala inisiatif kerajaan di dalam satu kerangka yang menyeluruh.

Jika tidak, pelabur akan keluarkan duit serta tidak melabur di Malaysia yang akan melemahkan lagi RM. Secara langsung kerajaan masih mengawal harga siling barangan asas. Tambahan pula, subsidi harga masih diteruskan. Selain itu, kumpulan yang disasarkan menerima bantuan tunai untuk menampung kehilangan kuasa beli akibat inflasi.

Yang penting ialah kerajaan perlu menguruskan ekonomi untuk menjana pertumbuhan yang bermakna akan mewujudkan pekerjaan supaya sekurang-kurangnya ada pekerjaan dan gaji. Nilai RM yang lemah berbanding 10 hingga 20 tahun lepas turut mendorong kepada kenaikan harga makanan kerana kebergantungan tinggi Malaysia dengan barang makanan import dari negara luar.

Jadi, adakah Ekonomi MADANI dapat membantu menguatkan semula nilai ringgit, dan apa pendekatan Ekonomi MADANI untuk mengurangkan kos makanan?. Saya sudah maklumkan bahawa faktor jangka pendek mempengaruhi nilai RM.

Dalam jangka panjang nilai RM bergantung kepada permintaan terhadap mata wang ini. Apakah sebab orang atau syarikat mahu memegang RM, jika sebabnya mengurang, nilainya juga mengurang.

Apa yang terjadi ialah dalam 20 tahun lepas, ekonomi Malaysia semakin berorientasikan domestik. Sumber pertumbuhan sebahagian besarnya adalah domestik. Sektor perkhidmatan, sektor terbesar hampir keseluruhannya domestik.

Perdagangan antarabangsa sebagai peratusan ekonomi telah menguncup. Sebelum krisis ekonomi Asia 1998, perdagangan adalah melebihi dua kali (200 peratus) ganda saiz ekonomi, sekarang ia hanyalah 20 peratus lebih besar.

Ini menyebabkan permintaan terhadap RM melalui perdagangan menguncup dan nilai RM melemah secara struktur. Selain itu, pasaran modal dan saham Malaysia juga kehilangan kepentingannya. Bursa Malaysia bukan lagi pasaran saham yang utama di Asia.Aliran masuk wang pun mengecil. Antara lain, Malaysia tidak melahirkan syarikat baharu yang menarik minat pelabur.

Selain itu aliran FDI (Pelaburan Langsung Asing) juga mengecil secara relatif. Ini semua menyebabkan nilai RM jatuh dalam dua dekad ini.

Satu cara sahaja untuk menaikkannya secara struktur. Bangunkan syarikat berdaya saing yang boleh mengeksport di pasaran luar. Kita perlu untuk antarabangsakan ekonomi kita daripada perusahaan kecil dan keusahawanan (PKE) kepada syarikat besar.

Perkembangan perdagangan antarabangsa akan meningkatkan permintaan terhadap RM dan mengukuhkan nilainya. Itu ada dalam Ekonomi MADANI. Apabila kita punya syarikat berdaya saing seperti itu, pasaran bursa akan menjadi rancak dan menarik minat dan aliran wang masuk untuk menaikkan RM.

Rakyat marhaen tidak merasai manfaat FDI, lebih-lebih lagi kaum Melayu yang masih ramai menjadi pemandu Grab dan peniaga warung. Secara realistiknya, adakah rakyat biasa akan semakin tertinggal jauh jika Malaysia dinaik taraf kepada ekonomi berpendapatan tinggi?

Sememangnya sesuatu pelaburan terutamanya FDI yang besar akan mengambil masa untuk siap dan kemudiannya membuka peluang pekerjaan. Apa yang penting ialah persiapan dari segi kemahiran perlu ada untuk memenuhi permintaan syarikat ini nanti.

Antara sebab utama pelabur melabur di Malaysia atau di mana-mana ialah kehadiran tenaga kerja mahir. Kalau tidak cukup tenaga mahir, syarikat tidak akan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Soal ramai remaja Melayu yang tidak menyambung pelajaran atau latihan kemahiran selepas meninggalkan sekolah adalah sangat membimbangkan.

Penyertaan di dalam ekonomi gig atau media sosial bukan satu kerjaya atau pun keusahawanan yang boleh berkekalan.

Memang betul fenomena pendigitalan termasuk kecerdasan buatan (AI) akan mengubah sifat pekerjaan secara ketara, yang akan memupuskan pelbagai jenis pekerjaan tetapi apa yang jelas ialah mereka yang langsung tiada kemahiran khusus atau pendidikan lanjutan akan dihukum keras nanti. Oleh sebab itu Ekonomi MADANI menekankan aspek kemasyarakatan untuk memperoleh hasil ekonomi.

Bagaimana kerajaan dan Ekonomi MADANI boleh menjadikan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) juara serantau?

Perdana Menteri menekankan bersekali dengan mengantarabangsakan PMKS. Penekanan kepada PMKS serta perubahan untuk melihat semua jenis perniagaan atau keusahawanan sebagai sesuatu usaha yang berdaya saing untuk pasaran antarabangsa.

Penekanan kepada mengantarabangsakan PMKS bukan seperti penekanan kepada melahirkan ‘jaguh serantau’ yang lebih berorientasikan saiz. Ekonomi MADANI meletakkan harapan untuk berinovasi dalam pembangunan produk kepada firma kecil. Jadi saiz bukan pengukurnya, kemampuan untuk berdaya saing menembusi pasaran luar adalah ukurannya.

Kerajaan banyak menandatangani pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang melibatkan pelbagai negara. Akses kepada pelbagai pasaran ini sudah ada, tetapi ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang boleh memanfaatkan PMKS.

Ini harus berubah dan pada masa sama, kerjasama ekonomi dua hala yang lebih erat perlu diwujudkan dengan negara jiran yang melampaui kerjasama peringkat ASEAN.

Menteri Ekonomi sudah umumkan penubuhan zon kerjasama ekonomi dengan Singapura misalnya. Zon ekonomi di mana terdapat pergerakan barangan dan pekerja yang bebas dengan semua negara berjiran dengan kita akan membuka pasaran dua hala ini.

Ekonomi MADANI menekankan aspek peningkatan gaji pekerja supaya menjadi komponen lebih besar dalam KDNK Malaysia. Dalam erti kata mudah, kerajaan mahukan gaji pekerja naik lebih banyak. Apakah rancangan kerajaan untuk realisasi sasaran ini?

Ekonomi MADANI menyasarkan untuk naikkan sumbangan upah kepada pendapatan. Selain melalui perundangan seperti kadar upah minima, sebahagian besar usaha ini mesti berteraskan produktiviti dan daya saing syarikat.

Ini memerlukan perubahan kepada apa yang syarikat buat. Kalau buat perladangan macam sekarang dengan keluasan tujuh juta hektar, gaji tidak akan berubah. Boleh ubah setakat gaji minimum.

Kalau ada inovasi, teknologi baharu yang memerlukan kurang pekerja untuk mengutip hasil, maka sudah tentu upah akan menjadi lebih tinggi. Kalau setakat jual barangan atau perkhidmatan kepada pasaran tempatan, gaji tidak akan naik banyak mana.

Kalau berdaya saing untuk menembusi pasaran luar yang sanggup bayar harga lebih tinggi, gaji akan naik. Oleh sebab itulah Ekonomi MADANI meletakkan mengantarabangsakan PMKS sebagai agenda utama transformasi ekonomi.

Apakah punca utama kadar penyertaan wanita kini rendah berbanding lelaki dan bagaimana Ekonomi MADANI akan membawa perbezaan daripada kerangka serta visi ekonomi sebelumnya untuk menaikkan kadar penyertaan golongan ini?

Mengenai kadar penyertaan wanita, ia bukan menurun. Ia rendah dan tidak meningkat. Walaupun kadar penyertaan kanak-kanak perempuan lebih tinggi daripada lelaki di sekolah dan penyertaan serta pencapaian wanita di IPT jauh lebih tinggi daripada lelaki, kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh adalah rendah.

Lebih daripada itu, penyertaan wanita menurun apabila mereka mempunyai anak dan ia tidak meningkat kembali.

Akibatnya, Malaysia tidak menggunakan modal insannya yang terbaik di dalam ekonomi. Ini berkaitan sikap dan norma masyarakat, tetapi sebab utama ialah peranan wanita sebagai ibu dan nilai pasaran wanita sebagai membesarkan anak tidak diambil kira.

Sokongan terhadap wanita bekerja yang mempunyai anak di tempat kerja sangat berkurangan. Sikap majikan terhadap ibu yang melahirkan dan membesarkan anak itu juga tidak menyokong, malah mendiskriminasikan.

Oleh itu, Ekonomi MADANI mencadangkan untuk menaikkan kadar penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan melalui proses perundangan dan insentif kepada majikan. Jika melahirkan anak dan membesarkannya adalah satu kegiatan yang mempunyai nilai ekonomi, undang-undang serta dasar hendaklah tidak mendiskriminasikan ibu bekerja.

Malah golongan ini perlu disokong untuk terus kekal bekerja melalui kemudahan penjagaan anak semasa kerja.

Bolehkah rakyat berharap supaya Ekonomi MADANI menjadi realiti dan apakah risiko-risiko utama yang boleh menggagalkan kerangkanya?

Segala reformasi institusi serta ekonomi ini bukan mudah. Ia akan ditentang oleh mereka yang mempunyai kepentingan untuk mengekalkan ‘status quo’. Ia akan juga ditentang oleh mereka yang menentang semata-mata untuk menentang tanpa ada cadangan yang lebih baik.

Apa juga keputusan dasar akan ada harganya sama ada ruginya, ada untungnya. Ada pihak yang beruntung daripada sesuatu keputusan, ada yang rugi. Tidak ada keputusan dasar yang tiada untung-ruginya.

Kefahaman ini serta kemampuan untuk menilai fakta dan data adalah diperlukan untuk melalui proses reformasi ini. Tanpanya, pengkritik yang menjanjikan semua yang enak akan mungkin berjaya untuk menggagalkan usaha ini.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan