Sila log masuk terlebih dahulu.

[MULTIMEDIA] Dari mana datangnya kekayaan Rihanna?

Penyanyi lagu "Work" itu kini bergelar bilionaire dengan nilai kekayaan melebihi RM7 bilion.

[MULTIMEDIA] Baru-baru ini, majalah Forbes telah mengeluarkan “Senarai Billionaire Dunia: Manusia Paling Kaya 2022”.

Dalam senarai tersebut, Forbes menamakan lebih kurang 2,668 bilionaire dari seluruh dunia yang mana 236 daripadanya adalah muka baharu.

Salah seorang daripada muka baharu yang baru pertama kali memasuki senarai tersebut ialah selebriti terkenal Hollywood iaitu Rihanna.

Menurut laporan Forbes, Rihanna adalah satu daripada produk Hollywood yang berjaya meletakkan namanya dalam senarai tersebut selain Jay-Z, Kanye West dan Kim Kardashian.

Beliau yang kini sarat mengandungkan anak sulungnya berada pada kedudukan 1,729 dengan kekayaan dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion).

Bagaimanapun, penyanyi tersebut memberitahu beliau berasa janggal dengan pencapaian tersebut.

“Ia sesuatu yang aneh apabila mendapat ucapan tahniah berkaitan dengan wang.

“Saya tak pernah dapat ucapan sedemikian sebelum ini dan ia betul-betul gila,” katanya dalam satu majlis pelancaran produk Savage X Fenty di New York, Amerika Syarikat pada September tahun lalu.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Berada di tempat yang tinggi merupakan sesuatu yang menakutkan dan beliau sebenarnya lebih selesa berada di bawah, tambahnya ketika mengulas status bilionaire dimilikinya itu.

Rihanna yang juga duta Barbados dilaporkan memperoleh kekayaan melalui dua aktiviti iaitu perniagaan dan seni.

Walaupun namanya lebih lama bertapak dalam dunia hiburan, namun bidang tersebut nampaknya tidak lagi menjanjikan pulangan yang lumayan.

Tahun lalu, beliau hanya mampu menjana pendapatan sekitar AS$30 juta (RM270 juta) dalam bidang seni yang diceburinya sejak 2005 itu.

Sebaliknya, bidang pernigaan yang diceburinya sejak lima tahun lalu itu membawa pulangan yang lebih lumayan.

Hasil kreativitinya menubuhkan jenama Fenty sejak lima tahun lalu berjaya membantu penyanyi itu mengumpul nilai kekayaan berjumlah AS$1.6 bilion (RM6.8 bilion).

Sebanyak AS$1.4 bilion (RM6 bilion) diperoleh daripada jualan produk alat solek Fenty Beauty manakala selebihnya diperoleh daripada jualan produk pakaian dalam Savage X Fenty.

Bagi produk Fenty Beauty, kerjasama Rihanna dengan jenama Louis Vuitton Moet Hennessy (LVMH) melayakkan beliau menerima perkongsian untung 50 peratus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fenty.

Kerjasamanya dengan TechStyle Fashion Group bagi menghasilkan jenama Savage X Fenty pula melayakkan beliau memperoleh perkongsian untung sebanyak 30 peratus.

Sementara itu, “Senarai Billionaire Dunia: Manusia Paling Kaya 2022” menyaksikan Elon Musk menduduki tempat pertama dengan nilai kekayaan berjumlah AS$219 bilion (RM923 bilion).