Sila log masuk terlebih dahulu.

[MULTIMEDIA] Pembaziran negara 'senjata gila'

Kira-kira RM982.2 bilion dibelanjakan untuk membangunkan senjata nuklear dalam tempoh empat tahun.

[MULTIMEDIA] Biarpun telah diketahui kesan dan akibat senjata nuklear, namun masih terdapat negara di dunia ini yang sibuk membangunkannya.

Mereka berlumba-lumba meningkatkan keupayaan ‘senjata gila’ itu dari tahun ke tahun untuk bersaing dengan seteru masing-masing.

Hal tersebut menyebabkan puluhan bilion AS dolar dibazirkan pada setiap tahun bagi merealisasikan hasrat membangunkan senjata tersebut.

Berdasarkan data dikeluarkan oleh The International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN), kira-kira AS$222.9 bilion (RM982.2 bilion) dibazirkan untuk membangunkan senjata nuklear dalam tempoh empat tahun.

Jumlah tersebut melibatkan pembiayaan dilakukan oleh sembilan buah negara yang terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Rusia, China, Perancis, India, Pakistan, Korea Utara dan Israel.

AS merupakan negara yang paling banyak membazirkan duit untuk membangunkan senjata nuklear iaitu sekitar AS$148.4 bilion (RM654 bilion) dalam tempoh empat tahun.

Menguntungkan pihak lain

Disyorkan artikel berkaitan ini:

ICAN dalam laporan tahunan bertajuk, “Squandered: 2021 Global Nuclear Weapons Spending” menjelaskan, pembaziran dilakukan oleh sembilan negara tersebut bagaimanapun menguntungkan pihak lain.

Pihak tersebut melibatkan syarikat pembuat senjata di tiga buah negara iaitu AS, UK dan Perancis, pelobi bagi mendapatkan kontrak dan pasukan pemikir untuk menulis polisi berkaitan senjata nuklear.

“Pada tahun lalu, sebanyak AS$82.4 bilion (RM363.6 bilion) dibelanjakan kepada dua pihak iaitu jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

“Syarikat pembuat senjata nuklear di As, UK dan Perancis mendapat sekitar AS$30 bilion (RM132.3 bilion) untuk setiap kontrak yang diberikan,” menurut laporan berkenaan.

Syarikat-syarikat tersebut kemudiannya membiayai sekitar 12 kumpulan pemikir yang berpusat di AS, UK, Perancis dan India antara AS$5.5 (RM24.2 juta) hingga AS$10 juta (RM44.1 juta), jelas laporan tersebut.

Jelas laporan itu lagi, syarikat pembuat senjata nuklear turut mengupah pelobi bagi memastikan bajet diusulkan yang melibatkan sejumlah wang besar diluluskan.

“Syarikat pengeluar senjata nuklear membelanjakan sekitar AS$117 juta untuk pelobi pada 2021,” menurut laporan itu lagi.

Negara nuklear

Secara amnya, hanya terdapat lima negara di dunia ini dibenarkan memiliki senjata nuklear secara bersyarat.

Negara-negara tersebut ialah AS, Rusia, UK, Perancis dan China.

Ini kerana kelima-lima negara tersebut telah membina dan menguji 'senjata gila' itu sebelum sebuah perjanjian dikenali sebagai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dikuatkuasakan.

Kebenaran tersebut termaktub di bawah perjanjian tersebut yang ditangani oleh 189 negara pada 1 Julai 1968.

Perjanjian yang dicadangkan oleh Ireland dan Finland itu bertujuan mengehadkan pemilikan senjata nuklear.

Justeru, mana-mana negara yang menandatangani perjanjian tersebut tidak dibenarkan untuk membangunkan senjata nuklear melainkan lima negara disebutkan tadi.

Berdasarkan fakta, AS membangunkan senjata nuklear pada tahun 1945, Rusia (1949), UK (1952), Perancis (1960) dan China (1964).

Bagaimanapun, terdapat empat negara yang tidak menandatangani NPT iaitu India, Pakistan, Israel dan Sudan Selatan.

Namun, Sudan Selatan dipercayai tidak mempunyai sebarang senjata nuklear tetapi enggan menandatangani perjanjian tersebut kerana sedang bergelut dengan masalah dalaman.

Dalam masa sama, terdapat juga beberapa buah negara yang menandatangani NPT tetapi talah mencabuli garis keselamatan ditetapkan dalam perjanjian yang dimeterai.

Negara-negara tersebut ialah Korea Utara, Iran, Afrika Selatan, Libya dan Syria.

Namun, Afrika Selatan yang membangunkan senjata tersebut tanpa bantuan mana-mana pihak telah melupuskannya, sekali gus mematuhi NPT.