Sila log masuk terlebih dahulu.

PRU15: SPR boleh tangguh pengundian jika banjir ancam keselamatan
Artikel percuma

18 November 2022 08:25pm | Masa membaca: 4 minit
Petugas SPR menyusun peralatan untuk hari pengundian bagi P.040 Kemaman ketika tinjauan persiapan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Chukai pada Jumaat. - Foto Bernama
Petugas SPR menyusun peralatan untuk hari pengundian bagi P.040 Kemaman ketika tinjauan persiapan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Chukai pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menangguhkan proses pengundian sekiranya berlaku banjir teruk sehingga mengancam keselamatan pengundi dan petugas pilihan raya di mana-mana pusat mengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berkata, di bawah peruntukan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, satu Pengisytiharan Proklamasi Darurat boleh dibuat bagi membolehkan proses pengundian ditangguhkan dan diadakan semula pada tarikh lain.

“SPR mempunyai kuasa menangguhkan proses pengundian atas beberapa faktor. Antaranya SPR boleh menangguhkan pengundian atas sebab keselamatan pengundi, pekerja pilihan raya SPR dan parti," kata beliau kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Jelas Manimaran, proses pengundian yang terjejas akibat banjir juga boleh dijalankan semula dalam waktu terdekat yang ditetapkan kelak dan mengikut warta yang dibuat.

“Dan sekiranya ada pusat mengundi alternatif disediakan untuk pengundi di pusat mengundi yang terjejas banjir ia perlu diwartakan awal dan notis pemberitahuan perlu dikeluarkan agar tidak menyukarkan semua pihak terlibat termasuk SPR dan juga pengundi,” katanya lagi.

Ulas Manimaran, terdapat juga kes di mana pengundian ditangguhkan bukan akibat bencana, malapetaka atau banjir sebaliknya disebabkan seperti isu-isu teknikal.

“Contohnya kesilapan percetakan kertas undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004),” katanya.

Walau bagaimanapun, Manimaran menzahirkan keyakinan SPR mempunyai pelan kontingensi yang dikoordinasi lebih awal dengan agensi bertanggungjawab bagi menangani keadaan sekiranya situasi banjir benar-benar berlaku pada hari pengundian.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Pada masa sama, beliau tidak menafikan penangguhan pengundian akan menyebabkan berlakunya peningkatan kos pengurusan pilihan raya.

PRU15 pada Sabtu bakal menyaksikan seramai lebih 21 juta pemilih melaksanakan tanggungjawab mengundi untuk 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perak, Perlis dan Pahang serta DUN Bugaya, Sabah.

Namun hujan lebat berterusan pada Rabu di beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Kelantan, Melaka dan Perak serta sekitar Lembah Klang mendatangkan kebimbangan orang ramai sekiranya banjir berlaku pada hari pengundian.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar pula berkata, hari pengundian akan diteruskan seperti yang telah diwartakan selagi pusat mengundi tidak ditenggelami banjir.

“Kita tidak dapat menjangka sekiranya akan berlaku banjir di mana-mana kawasan mengundi esok namun selagi pusat mengundi kering dan tidak ditenggelami banjir maka hari pengundian yang telah diwartakan pada Sabtu perlu diteruskan,” ujarnya.

Tambah Wan Ahmad, mengambil kira senario sekiranya hanya jalan atau laluan ke pusat mengundi yang dinaiki air, maka bantuan alternatif boleh disediakan untuk membawa pengundi ke pusat mengundi.

“SPR boleh memohon bantuan daripada agensi kerajaan seperti polis, tentera atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta mana-mana agensi yang mempunyai kenderaan berat untuk membawa pengundi ke tempat mengundi dan kemudian menghantar pulang semula pengundi.

"Hal ini bagi memastikan pengundian dapat dijalankan dengan lancar," katanya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan