Sila log masuk terlebih dahulu.

Selepas 48 tahun, legasi Ku Li di Gua Musang berakhir
Artikel percuma

19 November 2022 11:46pm | Masa membaca: 4 minit
Tengku Razaleigh (tengah) bersama para penyokong hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang sempena penamaan calon PRU15 pada 5 November lalu.
Tengku Razaleigh (tengah) bersama para penyokong hadir di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang sempena penamaan calon PRU15 pada 5 November lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah pada usia 85 tahun yang menjadi satu-satunya pemimpin Barisan Nasioal (BN) dinamakan sebagai calon terus-menerus sejak 1986 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang akhirnya kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 11.30 malam tadi, Tengku Razaleigh meraih undi 21,663, tewas kepada calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Azizi Abu Naim yang memperoleh 21,826, hanya dibezakan dengan 163 undi.

Keputusan awal ini juga berkemungkinan dikira semula memandangkan perbezaan undi yang rendah di antara Tengku Razaleigh dengan Mohd Azizi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Asharun Uji pula hanya meraih 4,517 undi manakala calon dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat sekadar berpuas hati dengan 371 undi.

Tengku Razaleigh atau digelar Ku Li sebelum itu merupakan Ahli Parlimen Ulu Kelantan sejak 1974 sebelum kawasan itu bertukar nama kepada Parlimen Gua Musang pada tahun 1986.

Beliau juga merupakan wakil rakyat yang paling lama berkhidmat di negara ini iaitu sejak tahun 1969 dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat.

Tengku Razaleigh yang merupakan putera raja dari Kelantan dan juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dilahirkan pada 13 April 1937.

Menyingkap perjalanan karier politiknya, Tengku Razaleigh mula mengabdikan diri bersama UMNO sejak tahun 1962 dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Tengku Razaleigh memegang portfolio Menteri Kewangan bermula 5 Mac 1976 hingga Julai 1984 dan seterusnya Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Episod suram Tengku Razaleigh bermula selepas kekalahannya merebut jawatan Presiden UMNO menentang Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 April 1987 di mana beliau tewas 43 undi sekaligus menyaksikan peralihan kerjaya politiknya.

Kekalahan itu menjadi pembuka jalan buat Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, mengambil semangat penubuhan UMNO pada tahun 1946, bersama-sama beberapa pemimpin lain antaranya Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun, beliau bersama Rais kembali semula bersama UMNO selepas Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.

Selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Tengku Razaleigh membuat kemunculan semula dengan bertanding jawatan Presiden UMNO namun beliau tewas di tangan Ahmad Zahid.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan