Sila log masuk terlebih dahulu.

Kerusi tradisi keluarga Anwar tumbang
Artikel percuma

Nurul Izzah gagal pertahankan kerusi yang dimenangi keluarga Anwar sejak 40 tahun

20 November 2022 04:53am | Masa membaca: 4 minit
ANWAR
ANWAR
A
A
A

SHAH ALAM - Siapa sangka kerusi Parlimen Permatang Pauh atau lebih dikenali sebagai kerusi tradisi keluarga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbang buat pertama kalinya selepas anaknya, Nurul Izzah Anwar kalah mengejut.

Nurul Izzah yang juga merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) 'lemas' dibadai tsunami Perikatan Nasional (PN) apabila tewas di tangan calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi.

Kegagalan tersebut menyaksikan Nurul Izzah gagal mengekalkan kerusi tradisi keluarga Anwar yang telah dipegang sejak 40 tahun lalu.

Sementara itu, dua calon lain yang turut bertanding iaitu dari Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Mohd Said menerima 16,971 undi dan Mohd Nasir Othman (Pejuang) sebanyak 473 undi.

Kerusi Permatang Pauh menjadi kerusi tradisi keluarga Anwar apabila mula dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1982, 1986 dan 1990 di bawah BN sebelum meneruskan penguasaan di kerusi sama di bawah PKR pada tahun 1995, 2008 dan 2013.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga pernah menang di Permatang Pauh pada tahun 1999, 2004, 2008 dan 2015.

Nurul Izzah mula bertanding di kerusi tersebut sejak PRU14 pada tahun 2018 selepas berpindah dari kerusi Lembah Pantai.

Walaupun Nurul Izzah tidak bernasib baik pada PRU kali ini, bagaimanapun, Anwar dan Wan Azizah masing-masing menang di kerusi baharu mereka.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Anwar yang juga merupakan ketua pembangkang itu berjaya meraih majoriti mudah sebanyak 3,736 dengan 49,625 undi keseluruhan di Parlimen Tambun biarpun baru pertama kali bertanding di negeri tersebut.

Saingan utamanya, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh 45,889 undi diikuti oleh Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional- BN) 28,140 undi dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang), 1,115 undi.

Tidak kurang hebat, Wan Azizah yang juga merupakan Pengerusi Majlis Nasihat PKR itu berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dahulunya dipegang oleh PKR sejak 2008 sebelum terjadinya krisis politik.

Tidak gentar dan yakin menang, Wan Azizah berjaya meruntuhkan pertahanan penyandang kerusi itu, Datuk Kamarudin Jaaffar (PN) dengan 43,476 undi sementara Kamarudin memperoleh 33,659 undi.

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR

TUN M DAN MUKHRIZ JUGA TEWAS

Gandingan anak dan ayah pada PRU15 ini juga termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyaksikan kedua-dua mereka berputih mata apabila kalah di Kedah.

Calon tertua berusia 97 tahun itu tewas di Parlimen Langkawi buat pertama kalinya dengan memperoleh 4,566 undi sahaja.

Beliau tewas ditangan calon PN, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang juga merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Kedah yang memperoleh 25,463 undi.

Sementara anaknya, Mukhriz Mahathir yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Jerlun selama dua penggal kalah teruk dengan hanya memperoleh 3,144 undi dalam persaingan empat penjuru sekali gus meletakkan dirinya di tangga tercorot bagi kawasan tersebut.

Calon PN, Dr Abd Ghani Ahmad berjaya menewaskan Mukhriz apabila memperoleh 31,685 undi manakala Datuk Othman Aziz (BN) memperoleh 11,229 undi dan Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali (PH) dengan 6,149 undi.

HUI YING
HUI YING

ADIK-BERADIK DI PENTAS PRU15

Selain keluarga popular Anwar dan Tun Mahathir, PRU15 kali ini turut menyaksikan calon adik-beradik yang sama-sama berentap di pentas politik.

Antaranya ialah calon heavyweight DAP, Gobind Singh Deo turut bergandingan bersama adiknya, Ramkarpal Singh di bawah tiket PH. Mereka berjaya memenangi majoriti undi di Parlimen masing-masing.

Gobind yang sebelum ini merupakan penyandang kerusi Puchong telah beralih ke Parlimen Damansara dan percaturannya itu membuahkan hasil apabila berjaya mendapat sebanyak 142,875 undi berbanding calon PN, Lim Si Ching (18,256 undi) dan Tan Gim Tuan GT (BN), 13,806 undi yang telah hilang deposit.

Adiknya, Ramkarpal Singh yang cuba mempertahankan kemenangan di Parlimen Bukit Gelugor buat kali kedua itu juga berjaya memperoleh 71,204 undi, jauh meninggalkan calon BN, Wong Chin Chong yang memperoleh 8,092 undi dan P. Thinaganarabhan (PN) dengan 6,777 undi.

Selain itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan buat kali keempat dengan 55,797 undi jauh meninggalkan calon PN, Oh Teik Choon dengan 6,149 undi diikuti Tan Chuan Hong (BN) dengan 5,385 undi dan Mohammed Hafiz Mohamed Abu Bakar (Pejuang) dengan 1,323 undi.

Manakala adik wanitanya, Lim Hui Ying yang bertanding di kerusi Parlimen Tanjong yang sebelum ini disandang Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang juga menang dengan 31,968 undi mengalahkan calon BN, Tan Kim Nee (3,214 undi) dan calon PN, Ah Leng (2,501 undi) yang masing-masing telah hilang wang taruhannya.

yang terletak dalam kawasan Parlimen dimenangi abangnya pada PRU14 tewas dengan 2,971 undi

Akhirnya, kawasan kubu kuat BN itu jatuh ke tangan Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu negeri, Wan Zikri Afthar Ishak dengan 5,456 undi.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan