SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan, mengetuai barisan calon muda Barisan Nasional (BN) yang 'bungkus' dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Asyraf Wajdi kalah dalam pertembungan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Gerik kepada calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob dengan majoriti 1,377 undi apabila beliau hanya memperoleh 13,105 undi.
Kekalahan Asyraf Wajdi memang sudah dijangka kerana pada awal pencalonannya, Asyraf turut diboikot oleh jentera dan penyokong akar umbi BN yang mahukan anak tempatan menjadi calon di Parlimen Gerik.
Zahida Zarik yang menjadi calon payung terjun BN di Parlimen Padang Besar pula tewas ditangan wakil PN, Rushdan Rusmi yang memperoleh 24,267 undi atau majoriti 12,514 undi.
Antara calon 'heavyweight' muda BN lain yang tewas adalah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang dihantar untuk berperang dan 'dikorbankan' Alor Gajah kerana menjadi orang kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berikutan kekalahannya kepada calon PH merangkap bekas Menteri Besar Melaka, Adly Zahari, Shahril mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO, berkuat kuasa mulai Ahad.
Pada masa sama, Shahril juga mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, bagi memikul tanggungjawab kerana kekalahan teruk gabungan itu, pada PRU15.
Turut 'terkorban' ialah pengganti Shahril selaku Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, yang tewas di kerusi Shah Alam kepada calon PH, Azli Yusof.
Seorang lagi calon 'heavyweigt' muda yang tewas ialah Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang kalah dalam pertembungan lima penjuru di Kangar menyaksikan wakil PN, Zakri Hassan mencipta kejutan menewaskan penyandang Noor Amin Ahmad dari PH.
Nasib juga tidak menyebelahi Ketua Puteri UMNO Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin, yang menjadi calon bidan terjun BN di Ketereh apabila tewas kepada wakil Pas, Khlir Mohd Nor.
Calon BN paling muda di Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahab, pula tewas kepada Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang menjadi penyandang kerusi Masjid Tanah.
Seorang lagi calon muda BN, Ivone Low Yi Wen pula tewas kepada wakil PH, Rodziah Ismail dalam pertembungan sembilan penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Ampang.