Sila log masuk terlebih dahulu.

Politik berasaskan sentimen

26 Mac 2023 07:40am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

BEBERAPA minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh pasukan keselamatan agar berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang menggunakan sentimen agama dan kaum.

Amaran Perdana Menteri itu adalah amalan biasa pemimpin nombor satu bagi memastikan keharmonian negara yang dihuni pelbagai kaum dan agama dapat terus dipertahankan.

Realitinya, politik sentiasa berkenaan sentimen, berasaskan persepsi dan propaganda. Misalnya, UMNO, Pas dan Bersatu bergerak atas sentimen Islam dan Bumiputera, manakala Pakatan Harapan (PH) atas sentimen musuh-musuh politiknya adalah penyeleweng agama, perasuah dan penyamun.

Anwar sendiri pada pilihan raya melontarkan sentimen UMNO sebagai parti perasuah, penyamun dan korupsi yang mengkhianati perjuangan Islam serta Melayu.

Lagu penyamun Hoi Ya Hoi nyanyian Altimet dijadikan tema kempen PH. Namun, kita tahu ia hanya sentimen kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PH dan UMNO telah mengadakan kerjasama politik.

Demikian juga selepas PRU15, sentimen yang sama digunakan ke atas seteru politik baharu PH iaitu Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri mendakwa Pas menerima dana judi, sementara Bersatu terlibat dalam penyelewengan dana bernilai RM600 bilion.

Bersatu dan Pas pula mula memainkan sentimen kepentingan Melayu serta Islam sedang dihakis oleh DAP.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Permainan sentimen dalam politik bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antara yang berjaya memainkan sentimen bersifat kelompok tertentu sehingga berjaya memenangi pilihan raya negara tersebut.

Di India, Parti Bharatiya Janata (BJP) menggunakan sentimen nasionalis Hindu secara berkembang pesat sejak 1998 sehingga menyebabkan Masjid Babri telah diruntuhkan oleh ekstremis Hindu pada 1992.

Hasil permainan sentimen nasionalis Hindu itu kemudiannya membolehkan BJP membentuk kerajaan secara bersendirian pada 2014.

Bagaimanapun, kita rasa bimbang apabila Perdana Menteri mendakwa akan terdapat rakyat miskin bakal diupah semata-mata mahu menimbulkan kekacauan dan meminta pihak keselamatan mengambil tindakan.

Dalam keadaan mahu semua pihak mengurangkan permainan sentimen politik sehingga menimbulkan kegelisahan semua pihak, Anwar sendiri tampaknya terjebak dengan permainan tersebut sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Dalam usaha mengukuhkan Kerajaan Madani, Perdana Menteri tampak bersungguh-sungguh untuk memburukkan musuh politiknya terutama Pas. Imej Islam Pas sedang dipalit lumpur susulan dakwaan penerima dana judi dan bersubahat dengan penyelewengan Bersatu.

Semua itu dibuat lebih awal sebelum apa-apa siasatan dan pendakwaan dilakukan. Apabila sebahagian sentimen tersebut kemudiannya menjadi satu bentuk pendakwaan, maka ia menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada sebahagian rakyat.

Lebih membimbangkan apabila kerajaan tampak seperti memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak atas perbincangan yang berasaskan sentimen kaum dan agama.

Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri kelihatan begitu terbuka dengan usaha-usaha perbincangan isu kaum dan agama tetapi menjadi terlalu sensitif selepas menjadi Perdana Menteri.

Dalam keadaan kerajaan sekarang kelihatan tidak mendapat kepercayaan majoriti orang Melayu, Perdana Menteri tidak seharusnya dilihat begitu bersungguh untuk bertindak atas isu kaum dan agama.

Fokus Perdana Menteri harus kepada pembangunan ekonomi rakyat dan negara, manakala perbahasan mengenai kepentingan Bumiputera dan Islam harus ditangani secara rasional serta bersifat masyarakat madani.

Ketaasuban kepada undang-undang untuk mengatasi sentimen kaum dan agama tidak akan menyelesaikan masalah.

Oleh sebab sentimen adalah soal hati dan perasaan – menakutkan orang Melayu mengenai tindakan undang-undang sekiranya membahaskan isu kaum serta agama hanya akan menambah jurang antara kerajaan dan orang Melayu.

Satu-satunya keadaan untuk mengurangkan sentimen kaum dan agama adalah dengan Perdana Menteri sendiri mengurangkan ucapan berasaskan sentimen pergaduhan antara parti politik serta menumpukan kepada pemerkasaan ekonomi negara.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Terap nilai budi di Parlimen: Dr Afifi al-Akiti
  2. Syafiq sentiasa perbaiki mutu karya, tidak pernah putus asa
  3. 'Jangan mudah lupa diri'
  4. Pas dan Annuar Musa
  5. Batik Air tidak gentar hadapi persaingan