Sila log masuk terlebih dahulu.

Siapa beruntung kes Sanusi?
Artikel percuma

22 Julai 2023 08:45am | Masa membaca: 4 minit
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Foto: Bernama
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Foto: Bernama
A
A
A

SAMA ada setuju atau tidak, pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan membawa impak yang mampu mempengaruhi keputusan enam pilihan raya negeri (PRN), kalau pun ia tidak memberi impak besar kepada keseluruhan PRN.

Apa yang berlaku dalam kes Muhammad Sanusi perlu dilihat daripada dua naratif berbeza. Pertama, pertuduhan ke atas beliau adalah usaha bermotifkan politik untuk membunuh imejnya dan menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini sangat popular dalam kalangan pengundi Melayu.

Naratif kedua pula ialah keceloparan Muhammad Sanusi yang dilihat seperti untouchable dalam setiap ceramah dan ucapannya sehingga mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor serta mempertikaikan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik yang didakwa menghina institusi diraja.

Akhirnya disebabkan itu beliau didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 kerana perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan, atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja (Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor).

Kes Menteri Besar Kedah itu jelas memperlihatkan pertembungan dua naratif yang berbeza di sebalik fakta bahawa masalahnya antara Muhammad Sanusi dengan institusi diraja. Namun, kesannya berbeza-beza.

Pertama, ia mungkin akan menarik sokongan atas dasar simpati sebagaimana lazimnya dalam kes-kes kontroversi politik seperti sebelumnya.

Kedua, ia juga boleh mengalihkan sokongan memandangkan tindakan menghina institusi diraja amatlah tidak wajar dilakukan terutama dalam kalangan mereka yang bergelar pemimpin. Kelompok itu dijangka menjarakkan diri mereka daripada PN dan mungkin akan mengundi Pakatan Harapan (PH)–Barisan Nasional (BN).

Persoalannya, dalam isu Muhammad Sanusi, pihak mana yang bakal beruntung antara PN dan PH-BN menjelang PRN? Pertama, isu tersebut tidak akan mengubah pandangan penyokong masing-masing, malah dijangka mengukuhkan sokongan sedia ada.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Namun, impak sebenarnya jelas kepada kelompok pengundi atas pagar dan orang Melayu. Impak ketara mungkin dilihat di dua negeri, Kedah dan Selangor. Muhammad Sanusi jelas popular di Kedah. Kes tersebut dijangka meningkatkan lagi pengaruh dan gelombang beliau dalam kalangan pengundinya.

Bagaimanapun, di Selangor ia nampak berbeza. Tindakan itu dijangka menjejaskan peluang PN dalam kalangan pengundi Melayu yang awalnya ada kecenderungan memilih PN.

Impak terbesar dan masih unknown (tidak diketahui) ialah kalangan pengundi atas pagar. Kelompok itu sangat penting untuk diketahui kecenderungannya, bukan sahaja dalam konteks Muhammad Sanusi tetapi penerimaan dan pemahaman mereka terhadap kes tersebut ketika membuat pertimbangan politik di kotak undi.

Dua naratif berbeza bagi kes Muhammad Sanusi akan diperhatikan oleh mereka daripada kaca mata orang tidak berparti sama ada PN atau PH-BN. Mereka akan melihatnya menerusi persepsi, pandangan dan emosi masing-masing.

Maka, pihak mana yang mampu mengeksploitasi isu itu dan berjaya menerangkannya dengan betul bakal beruntung memperoleh sokongan mereka.

Kes Muhammad Sanusi menghidangkan peluang kepada semua parti dan kembali menyeimbangkan permainan menjelang PRN. Persoalan siapa beruntung daripadanya mungkin sukar dijawab tetapi ia tetap bergantung kepada beberapa perkara.

Pertama, bagaimana parti-parti politik menggunakan isu tersebut sebagai kelebihan untuk memburukkan (discredit) lawan secara optimum. Kedua, harus juga melihat bagaimana olahan isu itu mampu untuk dihadamkan oleh kelompok sasaran iaitu pengundi Melayu atas pagar dan orang muda.

Menggunakan kes Muhammad Sanusi tanpa olahan betul dan tepat untuk kelompok sasaran juga mungkin tidak berkesan menarik sokongan kerana kandungan tidak menarik, kurang panas serta tidak kontroversi.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan