Sila log masuk terlebih dahulu.

Umum calon awal elak krisis
Artikel percuma

24 Julai 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman calon poster boy lebih awal di tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka dapat mengelakkan berlakunya sebarang krisis melibatkan parti dalam PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, pengumuman awal itu turut membantu memberi lonjakan sokongan rakyat kepada PH-BN, sekaligus menjamin kestabilan politik negara.

Menurutnya, langkah pengisytiharan pengekalan nama kesemua penyandang jawatan menteri besar dan ketua menteri di tiga negeri dikuasai PH sebagai poster boy, bakal memberi gambaran kepada pengundi bahawa kestabilan politik PH-BN sudah tercapai.

“Langkah Anwar mengumumkan calon poster boy lebih awal bertujuan mengelakkan persepsi rakyat di tiga negeri kononnya berlaku perebutan calon menteri besar atau ketua menteri dalam kalangan parti-parti dalam PH dan BN.

“Dengan meletakkan calon poster boy ini, ia memberi petunjuk bahawa gabungan PH-BN sudah memuktamadkan strategi pilihan raya termasuk agihan kerusi DUN dengan tiada lagi isu berbangkit,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar yang juga merupakan Pengerusi PH itu mengumumkan tiga nama poster boy yang kekal sebagai teraju negeri jika gabungan itu berjaya memenangi PRN iaitu Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor, Chow Kon Yeow (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).

Mengulas lanjut kriteria calon menteri besar menjadi pilihan rakyat, Mazlan berpandangan, pengundi kawasan campuran dan bandar akan menilai perkara itu berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) penyandang jawatan itu dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Di negeri maju atau bandar, KPI menjadi pengukur utama yang diteliti oleh masyarakat di sana. Sekiranya poster boy mempunyai track record baik dalam pentadbiran lalu, ia akan memberi kelebihan kepada calon yang dilihat mempunyai hala tuju jelas.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Oleh itu, lebih awal mereka mengumumkan siapa yang menjadi calon menteri besar atau ketua menteri, maka lebih mudah untuk rakyat membuat keputusan. Masyarakat juga dilihat lebih fokus dan terurus,” kata Mazlan.

Berbeza dengan penilaian masyarakat bandar, Mazlan berkata, isu siapa calon poster boy PH-BN tidak menjadi satu permasalahan besar di negeri-negeri sedang membangun yang dikuasai Pas.

“Ini kerana masyarakat luar bandar di negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu akan cenderung memilih parti berbanding calon atau prestasi penyandang menteri besar,” jelasnya.

Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid pula berkata, walaupun ramai pihak meramalkan PN bakal menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu, peluang PH-BN untuk merampas negeri itu masih ‘50-50’.

“Di tiga negeri Malay-Belts iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, pengumuman poster boy tidak akan mengubah pendirian pengundi. Dari segi pemerhatian, dilihat Kedah dan Kelantan telah pun mempunyai pendirian tetap dan akan bersama PN.

“Pas mungkin tidak perlu strategi poster boy di Kelantan dan Kedah, kerana sokongan luar biasa majoriti orang Melayu di dua negeri itu. Namun, di Terengganu, sejarah silam negeri itu menunjukkan ia mampu menjadi seperti hayunan bandul yang boleh berpindah di antara Pas dan BN,” ujarnya.

TANGANI ISU BERBANGKIT

Sementara itu pengumuman calon lebih awal sepertimana yang dilakukan PH-BN merupakan satu strategi dan langkah baik untuk memastikan perjalanan kempen kedua-dua itu parti berjalan lancar.

Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pada masa sama ia juga bertujuan untuk melihat dan mendapatkan reaksi daripada akar umbi sama ada seiring dengan pihak tertinggi parti ataupun tidak.

Katanya, jika terdapat isu berbangkit, masalah tersebut dapat diselesaikan lebih awal sebelum menjelang hari penamaan calon.

“Secara keseluruhannya nama calon sudah hampir selesai dan kemudian dimuktamadkan, mungkin tinggal beberapa kerusi sahaja sama ada masih dalam rundingan atau perbincangan.

Oleh itu, saya kira pengumuman awal dapat menyelesaikan pelbagai isu.

“Sekiranya ada pertukaran calon di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kepimpinan parti masih sempat untuk berbincang dan melakukan perubahan.Walaupun kes sebegini agak terpencil namun ia tidak mustahil berlaku,” katanya.

Menurut Awang Azman, pengumuman lewat akan menyebabkan pelbagai krisis dalaman parti seperti rasa tidak puas hati, protes dan sebagainya.

“Jika calon diumumkan awal, individu atau parti yang tidak terpilih untuk bertanding pada PRN di kawasan tertentu akan mempunyai tempoh untuk bertenang sebelum penamaan calon diadakan.

“Lagipun mereka masih ada ruang untuk mengadakan perbincangan bersama berbanding membuat keputusan di saat akhir,” katanya.

Ditanya mengenai timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah parti, Awang Azman menjelaskan, perkara itu adalah biasa dalam politik.

“Kalau tidak puas hati mesti diluahkan dan akhirnya perbincangan dibuat bagi mendapat kata putus daripada kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan