Sila log masuk terlebih dahulu.

Perlumbaan paling sengit di negeri terkaya
Artikel percuma

27 Julai 2023 02:00pm | Masa membaca: 4 minit
Kedudukan 56 DUN Selangor.
Kedudukan 56 DUN Selangor.
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan diadakan serentak dengan lima negeri lain pada 12 Ogos hadapan, bakal menjadi medan pertempuran politik paling getir selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal ini susulan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mempertaruhkan 56 kerusi untuk direbut, diunjurkan menjadi penentu bukan sahaja terhadap kelangsungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Bahkan, ramai melihat keputusan PRN Selangor bakal menentukan sejauh mana tahap kekuatan gelombang pengundi Melayu yang dikatakan menyokong Perikatan Nasional (PN) sejak PRU15.

Dengan Selangor mencatatkan jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu 3.75 juta dengan 1.91 juta daripadanya merupakan pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun, sudah pasti perlumbaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan PN untuk melepasi garisan majoriti mudah membentuk kerajaan sebanyak 29 kerusi amat sengit dan penuh debaran.

Atas kertas, gandingan PH-BN sebenarnya cukup ampuh untuk mengekalkan penguasaan status quo kerajaan negeri Selangor.

Muka depan sisipan khas Sinar Premium sempena kehangatan PRN enam negeri yang diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian pada Khamis.
Muka depan sisipan khas Sinar Premium sempena kehangatan PRN enam negeri yang diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian pada Khamis.

Berdasarkan keputusan PRU14, PH yang bertanding atas lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendominasi kerusi DUN Selangor sebanyak 51 kerusi, diikuti BN (4) dan Pas (1).

Bagaimanapun, PH kemudiannya kehilangan 10 kerusi apabila DUN Semenyih berjaya dirampas BN dalam pilihan raya kecil (PRK), manakala sembilan lagi DUN 'dibawa lari' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas peristiwa Langkah Sheraton tahun 2020.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dominasi PH di Selangor pada PRU15 juga sedikit terjejas akibat fenomena gelombang hijau apabila sekadar mempertahankan 16 daripada 20 kerusi Parlimen yang disandang pada PRU14.

PN pula menang di enam kerusi Parlimen iaitu di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kapar, sekali gus menafikan BN sebarang kerusi biarpun nama besar seperti Khairy Jamaluddin dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dipertaruhkan.

Bagi Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali, meskipun PRU15 memberi isyarat kebangkitan gelombang peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN, gabungan PH-BN masih lagi memiliki kelebihan.

Hal ini kerana rakyat Selangor hakikatnya berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH mentadbir negeri itu selain keberkesanan agenda memperkasakan kebajikan rakyat diusahakan mereka sejak tahun 2008 lagi.

“Sebahagian besar kerusi DUN Selangor merupakan kerusi campuran dan bandar di mana segmen ini dikuasai oleh PH sendiri. Pada masa sama, saya melihat kualiti 12 calon BN Selangor yang ditampilkan adalah lebih mantap dan tidak mengetengahkan calon kalah PRU15 atau kitar semula termasuk Tengku Zafrul.

“Selain itu, faktor kempen 3R (raja, kaum dan agama) yang dimainkan oleh PN hakikatnya memberi kesan negatif kepada pengundi muda negeri Selangor di mana kelompok ini majoritinya terdiri golongan kelas pertengahan.

“Mereka lebih mendambakan pembentangan manifesto bagi menyelesaikan masalah sosioekonomi, pendidikan dan pembangunan setempat. Saya melihat PH-BN lebih fokus menawarkan penyelesaian aspek sebegini berbanding PN,” kata Muhammad Asri kepada Sinar Premium.

Muhammad Asri turut mengunjurkan gabungan PH-BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 40 hingga 50 kerusi DUN Selangor, meskipun PN berkeyakinan mampu menawan sekurang-kurangnya 30 daripada 34 kerusi DUN majoriti Melayu yang dikenal pasti di negeri itu.

“Cuma isu pemindahan undi di antara penyokong BN kepada PH atau sebaliknya, amat menarik untuk diperhatikan. Jika ada sebahagian kecil pengundi UMNO-BN tidak keluar mengundi calon PH, itu sudah dijangka.

“Namun, kebimbangan terbesar adalah sama ada penyokong PH terutama DAP sanggup memberi undi kepada calon BN. Jika calon PH tidak menerima undi penyokong BN di kawasan campuran dan bandar, ia mungkin tidak jejas peluang kemenangan mereka. Namun saya percaya calon BN sukar untuk menang di kerusi majoriti Melayu jika penyokong PH tidak mengundi mereka,” ujarnya.

PN ADA PELUANG

Bagaimanapun, penganalisis politik veteran Dr Ahmad Atory Hussein menjangkakan tidak mustahil PN boleh membentuk kerajaan di Selangor dengan majoriti mudah melebihi 29 kerusi DUN, sekiranya sentimen pemindahan undi di antara penyokong PH-BN tidak berlaku.

Muhammad Asri (kiri), Ahmad Atory
Muhammad Asri (kiri), Ahmad Atory

Selain itu, beliau menjangkakan faktor kadar peratusan keluar mengundi juga bakal memainkan peranan besar dalam penentuan PRN Selangor.

Bagi Ahmad Atory, sekiranya kadar pengundi Melayu keluar mengundi meningkat 10 peratus berbanding PRU15, maka senario ini akan memberi kelebihan besar kepada PN.

“Saya tidak yakin UMNO-BN mampu memenangi sebahagian besar daripada 12 kerusi DUN diperuntukkan kepada mereka. Hanya jika kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditukar, ada kemungkinan BN masih boleh bertahan pada PRN enam negeri meskipun kepimpinan baharu memilih untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan.

“Secara kasarnya, saya fikir PH mampu mengekalkan kesemua kerusi bandar walaupun tanpa bantuan undi penyokong BN. Namun cabaran besar akan menanti PH-BN di kerusi marginal dan campuran, sekiranya penyokong bukan Melayu memilih untuk tidak mengundi koalisi itu,” tegasnya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan