Sila log masuk terlebih dahulu.

Tiga Tengku popular BN tewas
Artikel percuma

20 November 2022 01:27am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga pemimpin popular dalam Barisan Nasional (BN) yang memakai gelaran 'Tengku' tewas mengejut kepada pencabar masing-masing daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) iaitu di Parlimen Gua Musang, Putrajaya dan Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang bertanding di Parlimen Gua Musang tewas kepada pencabarnya, Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Pas dengan majoriti tipis 163 undi.

Beliau bagaimanapun meminta kiraan undi dibuat kerana majoriti tipis itu.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kuala Selangor) tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga penyandang kerusi dengan majoriti 1,002 undi.

No Image Caption

Seorang lagi calon heavyweight iaitu bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula yang menyandang kerusi Parlimen Putrajaya bagi empat penggal berturut-turut, dileburkan oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Radzi Jidin yang menang dengan majoriti 2,310 undi.

Kekalahan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li paling mengejutkan kerana beliau merupakan ahli Parlimen yang berkhidmat paling lama di Parlimen Gua Musang atau dikenali Parlimen Ulu Kelantan sebelum ini, sejak 48 tahun lalu.

Tengku Razaleigh yang merupakan putera raja dari Kelantan dan juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dilahirkan pada 13 April 1937.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Menyingkap perjalanan karier politiknya, Tengku Razaleigh mula aktif bersama UMNO sejak tahun 1962 dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan.

Tengku Razaleigh memegang portfolio Menteri Kewangan bermula 5 Mac 1976 hingga Julai 1984 dan seterusnya Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

No Image Caption



Sementara itu, Tengku Zafrul pula merupakan seorang tokoh korporat terkemuka dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Bank sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran kerajaan PN pada tahun 2020.

Tengku Zafrul yang sebelum ini menjarakkan dirinya daripada aktiviti berpolitik, mengejutkan orang ramai apabila diumumkan sebagai Bendahari UMNO Selangor sebelum memutuskan untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor sempena PRU15 ini.

Hal ini kerana beliau sering disebut-sebut bakal menyertai Bersatu dan PN susulan dilantik sebagai menteri Kabinet oleh bekas Perdana Menteri kerajaan PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, beliau pernah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sejak PRU14 dan mula menyandang kerusi Parlimen Putrajaya sejak tahun 2004.

Kekalahan Ku Nan terhadap Radzi yang juga Menteri Pendidikan dianggap salah satu daripada kejutan terbesar yang berlaku pada PRU15 selain menyaksikan majoriti pemimpin besar UMNO-BN diketuai Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut tumbang.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan