Sila log masuk terlebih dahulu.

Syor denda RM1 juta khianat parti
Artikel percuma

07 Ogos 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik mengesyorkan parti-parti politik di negara ini meminda perlembagaan mereka dengan mengenakan denda sehingga RM1 juta kepada ahli yang mengkhianati parti.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, sudah sampai masanya hukuman berat dalam bentuk wang ringgit itu dikenakan kepada ahli yang mensabotaj parti kerana perbuatan tersebut berlaku setiap kali musim pilihan raya.

"Jadi selain dipecat, mungkin ahli yang mengkhianati parti ini boleh dikenakan hukuman denda yang tinggi sehingga RM1 juta dan kalau mereka gagal untuk bayar, tindakan mahkamah boleh diambil.

"Hukuman berat ini akan memberikan ketakutan dan membuatkan seseorang ahli parti berfikir tiga empat kali sebelum mereka mahu mensabotaj parti. Kalau pindaan perlembagaan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin, fenomena khianat parti ini mungkin boleh dikurangkan dalam kadar yang drastik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa ahli parti yang menunjukkan protes dengan bertanding sebagai calon Bebas menentang parti masing-masing apabila nama mereka tidak dicalonkan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

DAP pada Jumaat lalu dilaporkan memecat empat anggotanya yang bertanding melawan calon daripada parti itu dalam PRN kali ini manakala Pas pada 31 Julai lalu turut menggugurkan keahlian anggota partinya yang berbuat demikian.

Antara ahli parti yang bertanding sebagai calon Bebas ialah penyandang kerusi DUN Bagan Dalam daripada DAP, Satees Muniandy dan Ketua Cawangan DAP Kampung Jawa Autocity, Pulau Pinang, David Marshel masing-masing bertanding di DUN Bagan Dalam dan DUN Perai.

Di Negeri Sembilan, penyandang DUN Ampangan daripada PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek turut mengambil keputusan sebagai calon Bebas apabila tidak dicalonkan semula.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Di Kedah pula, Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di DUN Kuah dan DUN Ayer Hangat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini memberi amaran parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana ahlinya yang didapati melakukan sabotaj kepada parti pada PRN ini.

Walaupun belum ada ahli UMNO yang dilaporkan terlibat mensabotaj parti, namun ada cakap-cakap sebelum ini mendakwa ahli mungkin tidak mengundi parti kali ini atas beberapa sebab antaranya wujud rasa tidak senang terhadap kepimpinan UMNO, dan rasa tidak puas hati mengenai calon, manakala segelintir ahli tidak minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Ariff Aizuddin menjelaskan, hukuman denda yang dicadangkan itu adalah menyerupai tindakan yang dilakukan PKR yang menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Beliau menegaskan, hanya melalui pindaan perlembagaan parti yang dapat membendung fenomena khianat itu daripada terus berlaku kerana perlembagaan berkenaan merupakan satu dokumen politik yang digunakan untuk mengikat kesetiaan ahli setiap parti.

Menurutnya, polemik khianat parti tersebut perlu dibanteras dengan segera kerana ia mengganggu kelancaran parti untuk menyampaikan perancangan dasar kepada orang ramai.

"Sekiranya gejala khianat ini berterusan ia juga akan menunjukkan bahawa sesuatu parti itu gagal menguruskan perbezaan dalaman apabila ahli mereka bertindak mensabotaj parti dan ini membuka ruang kepada persepsi yang tidak disenangi dalam kalangan rakyat terutama sekali pengundi.

"Lebih parah lagi perbuatan sebegini juga dikhuatiri akan membawa kepada ketidakstabilan politik yang berskala besar jika ia tidak ditangani dengan serius," tegasnya.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan