Sila log masuk terlebih dahulu.

'Kalih bagi sama' demi rakyat
Artikel percuma

11 Ogos 2023 07:10am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid antara calon heavyweight diketengahkan BN dan mengetuai calon BN Kedah bertanding di 15 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN).

Kemunculan semula Mahdzir bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu yang pernah disandangnya pada 2004, ibarat sirih pulang ke gagang.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-8 (2005-2008) sebelum berlakunya peralihan kerajaan.

Apabila nama beliau diangkat sebagai calon PRN, bekas Naib Presiden UMNO itu kembali disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kedah bagi pakatan BN dan Pakatan Harapan (PH), seterusnya memberikan signal bakal mencipta sejarah dilantik kali kedua menerajui Jelapang Padi, sekiranya gabungan itu berjaya merampas Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu ini.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, ROSLINDA HASHIM bersama Mahdzir yang mesra disapa Tok Det dalam kalangan penduduk setempat bagi menyingkap agenda beliau untuk rakyat Kedah sekiranya diberikan amanah menerajui negeri.

SINAR HARIAN: Kemunculan semula di pentas PRN, nama Datuk Seri antara disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar. Apa komen Datuk Seri?

MAHDZIR: Saya sebenarnya bertanding sebagai salah seorang daripada kepimpinan dalam parti.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Apabila BN bergabung bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan, kita bersama dalam kepimpinan itu.

Apabila pucuk pimpinan memilih saya sebagai calon, saya bersedia memikul tanggungjawab itu bagi memastikan kemenangan di DUN Pedu.

Insya-ALLAH atas pengalaman dan kedudukan dalam parti, tiada masalah untuk saya terima amanah yang diberikan.

SINAR HARIAN: Ramai muka baharu menjadi taruhan BN kali ini termasuk Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang bakal berdepan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di DUN Jeneri. Adakah ini langkah bijak, menemukan calon muka baharu dengan calon favourite?

MAHDZIR: Bukan di Jeneri sahaja, 70 peratus daripada 15 pemimpin di bahagian adalah muka baharu. Antaranya di Kuah, Bukit Kayu Hitam, Sungai Tiang, Guar Chempedak, Pantai Merdeka, Bayu, Kuala Ketil, Merbau Pulas dan Bandar Baharu.

Muka baharu itu tidak semestinya yang muda, ada antaranya kali pertama bertanding. Ia juga antara usaha meremajakan parti.

Situasi di Jeneri, saya yakin dengan kemampuan Muhamad Khizri. Walaupun baru dilantik sebagai Ketua Bahagian, beliau mampu galas tugas dan memberikan saingan sengit kepada Muhammad Sanusi.

Mahdzir tidak kekok bersantai bersama penduduk di Parlimen Padang Terap.
Mahdzir tidak kekok bersantai bersama penduduk di Parlimen Padang Terap.

SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk Seri melihat potensi PH-BN dalam misi merampas Kedah daripada PN yang menguasai 20 kerusi DUN sebelum dibubarkan?

MAHDZIR: Komposisi PN sebenarnya 15 kerusi DUN milik Pas dan tiga kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikan keseluruhan 18 kerusi.

Tiga lagi kerusi yang berada bawah PN itu adalah dari parti lain. Satu daripadanya dimenangi UMNO sebelum ini, di Guar Chempedak, iaitu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang menyertai Bersatu. Dua lagi di Lunas dan Sidam, milik PKR sebelum bertukar tangan kepada Bersatu.

Maksudnya, PN menjadi kerajaan bukan atas kapasiti penuh parti gabungan. Bersatu memang pada awalnya lima kerusi, sebelum Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Amiruddin Hamzah sertai Pejuang.

Saya percaya dua kerusi yang menjadi milik Pejuang sebelum ini (Jitra, Anak Bukit) serta dua lagi kosong kerana kematian penyandang DUN Belantik dan ADUN Gurun yang melepaskan kerusinya itu, akan menjadikan peluang 50-50 untuk BN-PH

Kita berusaha lebih gigih di kawasan-kawasan tumpuan selain tingkatkan gerak kerja di semua kawasan ditandingi, merangkumi 15 kerusi ditandingi BN, PKR (10), Amanah (9) dan DAP (2), masing-masing ada KPI (petunjuk prestasi utama) untuk dicapai parti masing-masing.

SINAR HARIAN: Adakah Datuk Seri yakin pencapaian PH-BN lebih baik dalam PRN ini?

MAHDZIR: Ya, saya nampak rakyat boleh buat penilaian lebih baik dalam PRN kali ini. Ketika PRU15, mungkin faktor gelombang PN, UMNO pun berdepan kesukaran.

Kali ini dengan gabungan Kerajaan Perpaduan, saya percaya rakyat akan buat pilihan lebih baik.Biarpun macam-macam kritikan dibuat terhadap Kerajaan Perpaduan, bagi saya ada usaha dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam bidang pembangunan sosial, kebajikan selain meningkatkan tahap ekonomi.

SINAR HARIAN: Adakah populariti Muhammad Sanusi sebagai ‘ancaman’ kepada peluang PH-BN menang di Kedah?

MAHDZIR: Muhammad Sanusi membina naratif untuk jadi populis khususnya di medium media sosial. Tujuannya untuk bina personaliti yang popular.

Dalam pembinaan naratif itu, beliau lupa pada peribahasa, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.

Saya bertanding bukan untuk populariti tetapi mahu buat kerja, biarlah saya popular kerana bantu rakyat. Paling penting persembahkan perancangan masa depan rakyat merangkumi kelompok nelayan, petani, penoreh, pekerja kilang, belia, wanita, warga emas dan sebagainya.

Perlu ada agenda untuk setiap kelompok yang disokong oleh kerajaan Persekutuan kerana kewangan negeri terbatas. Sebab itu penting untuk kerajaan negeri dan Persekutuan sealiran, bertepatan dengan slogan PH-BN Kedah, ‘Kalih bagi sama’.

SINAR HARIAN: Sejauh mana Datuk Seri melihat sambutan rakyat terhadap manifesto Kedah Madani yang diutarakan PH-BN, adakah ia mampu memikat hati pengundi Kedah?

MAHDZIR: Saya yakin manifesto ini difahami dan diterima baik rakyat, kami juga edarkan risalah manifesto kepada rakyat untuk mereka nilai sendiri.

Kita terangkan kepada mereka apa perkara dalam manifesto yang akan kita laksanakan.

SINAR HARIAN: Adakah Datuk Seri akan membuat sebarang perubahan besar jika sekali lagi menerajui Kedah?

MAHDZIR: Salah satu idea yang akan saya usahakan untuk manfaat rakyat ialah meneroka ekonomi baharu dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui, menerusi konsep teknologi hijau.

Antara yang berpotensi, sekam padi dan jerami boleh digunakan sepenuhnya untuk teknologi ini. Kita ada 110,000 hektar sawah padi untuk hasilkan sekam padi dan jerami yang boleh dibangunkan sebagai sumber pendapatan baharu.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan