[MULTIMEDIA] HABITAT amat penting kepada haiwan liar kerana ia merupakan rumah yang membolehkan spesies tersebut mencari makan dan membiak secara alami.
Namun, penerokaan hutan dan perburuan haram yang berleluasa telah menjejaskan habitat haiwan liar di negara kita.
Situasi tersebut secara tidak langsung telah mengancam nyawa lima spesies bernilai yang terdapat di negara ini iaitu gajah, harimau, rusa sambar, tapir dan seladang.
Kelima-lima spesies berkenaan dilaporkan berdepan dengan ancaman kepupusan kerana jumlahnya semakin merosot dari masa ke masa.
Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kesemua haiwan tersebut berdepan dengan ancaman kepupusan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
"Punca utama kepupusan ini adalah akibat habitat yang mengecil. Apabila habitat mengecil, binatang liar ini akan keluar dari kawasan asal dan akan terkena jerat hingga mengakibatkan kematian.
"Punca kedua adalah disebabkan nilai hidupan liar ini amat tinggi di pasaran gelap sama ada tempatan atau luar negara dan sudah tentu harimau mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Justeru, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai operasi bagi membendung masalah kepupusan haiwan liar itu.
Antaranya Ops Jerat, Ops Perniagaan, Ops Penyeludupan, Ops Khas, Ops Siber, Ops Sekatan Jalan Raya dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), tambahnya.
Menurutnya, pada tahun 2020, OBK telah diperkukuhkan di bawah pelaksanaan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang melibatkan pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar.
Katanya, ia bertujuan bagi membantu melaksanakan tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perlindungan Hutan Simpan Kekal di seluruh semenanjung Malaysia.
"Perhilitan melalui unit anjing pengesan (K9) juga telah mempergiatkan operasi dengan kerjasama jitu pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), terutamanya di lapangan terbang, pintu sempadan negara dan pelabuhan.
"Sebanyak 25 operasi membabitkan K9 ini telah berjaya dilaksanakan sehingga November 2021,” katanya.
Jelasnya, sepanjang OBK dijalankan bermula pada September 2019 hingga Februari 2022, seramai 375 orang pesalah yang terdiri daripada 100 warga asing dan 275 tempatan ditahan.
"35 orang daripada jumlah tersebut adalah pemburu haram,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca